PETALING JAYA : Pakatan Harapan (PH) mengesa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditangguhkan ekoran peningkatan kes mencecah 17,000 atau membenarkan kempen secara terbuka.
Majlis Presiden PH menjelaskan, pihaknya memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dan demi memastikan keadaan itu tidak diperalatkan untuk tujuan politik, maka kerajaan harus pertimbangkan untuk menangguhkan PRN Johor.
Katanya lagi, sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.
“Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, PH memberikan amaran agar kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron ini yang rata-rata bergejala ringan,
Menyentuh persiapan PRN Johor, PH memaklumkan akan menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ dan merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.
“Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PN bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” kata kenyataan itu. –UTUSAN