JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan peruntukan tambahan sejumlah RM200 juta bagi membantu peniaga kecil yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 dan banjir.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, ini menjadikan jumlah bantuan yang diberikan meningkat kepada RM400 juta menerusi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM).
Beliau berkata, peruntukan RM200 juta yang diluluskan pada Disember tahun lalu telah habis diagihkan kepada penerima bantuan.
“Ketika ini, saya terima banyak aduan lambat dapat bantuan, tetapi, sebenarnya RM200 juta yang diperuntukkan dahulu itu sudah habis.
“Bagi bantuan untuk usahawan terlibat banjir, Perdana Menteri bersetuju menambah RM150 juta bagi usahawan mikro dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan RM50 juta lagi menerusi SPIM menjadikan peruntukan tambahan RM200 juta,” katanya ketika ditemui pada program Back To School di Angsana Mall, di sini hari ini.
Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir, membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi lebih 15,000 peniaga.
Langkah kedua, Ismail Sabri berkata, adalah penyediaan dana tambahan RM50 juta melalui SPIM di bawah TEKUN Nasional, khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir.
Katanya, ia membabitkan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan tempoh bayar balik sehingga lima tahun berserta moratorium 12 bulan.
Noh memberitahu, sehingga kini, kira-kira 13,600 usahawan di bawah kementeriannya dikenal pasti terjejas akibat banjir pada Disember tahun lepas.
Tambahnya, kesemua mereka bakal diberi bantuan dalam bentuk geran seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dijadual diserahkan pada bulan depan. -UTUSAN ONLINE