Penantian tujuh tahun berbaloi

Penantian tujuh tahun berbaloi

Dr. N.G.BASKARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penantian doktor kontrak sejak 2016 untuk memperoleh perjawatan tetap berbaloi apabila kerajaan bersetuju mewujudkan sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan di Kementerian Kesihatan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. N.G.Baskaran berkata, keputusan tersebut adalah satu permulaan yang baik dalam membela nasib doktor kontrak.

Katanya, meskipun baki kumpulan itu masih tinggi, namun keputusan itu menunjukkan kerajaan menghormati pegawai perubatan kontrak itu yang bekerja bertungkus lumus terutama dalam berdepan wabak Covid-19 ketika ini.

“Keputusan ini merupakan petunjuk daripada kerajaan bahawa akan ada lagi penambahan perjawatan tetap selepas ini.

“Kita sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan barisan Kabinet yang telah menyelesaikan separuh masalah besar doktor kontrak ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, kerajaan bersetuju mewujudkan sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan di Kementerian Kesihatan bagi tujuan melantik seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi bermula Jun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia adalah sebahagian daripada 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang akan diwujudkan bermula tahun ini sehingga 2025.

Keputusan itu membolehkan sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap tambahan untuk pegawai perubatan, pegawai pergigian dan ahli farmasi dibuka dari 2023 hingga 2025.

Menurut Basakaran, keputusan itu adalah satu tindakan terbaik bagi memastikan sistem kesihatan negara terus utuh mendepani isu kesihatan masa kini.

Katanya, ini kerana penambahan perjawatan tetap itu bukan sahaja penting untuk menjamin pekerjaan para doktor, tetapi juga memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran menjadi pakar nanti.

“Ketempangan sistem kesihatan itu sendiri mungkin boleh memberi kesan buruk kepada negara.

“Jika sistem kesihatan tidak bagus, ekonomi juga yang akan terkesan apabila pekerja yang sakit tidak mendapat rawatan sewajarnya.

“Malah, apabila tidak ada doktor yang mempunyai kepakaran, maka sukar untuk meningkatkan taraf sistem kesihatan yang baik di Malaysia,’’ katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu sememangnya satu perkara yang dialu-alukan apabila akhirnya sedikit pencerahan di penghujung terowong dapat dilihat mengenai isu yang telah lama berlarutan ini.

 

DR. KOH KAR CHAI

Katanya, pihaknya melihat keputusan itu merupakan satu tindakan optimis bahawa isu doktor kontrak akhirnya dijangka dapat diselesaikan.

“Sudah tentu, sedikit masa akan diperlukan untuk menyelesaikan semua isu. Bagaimanapun, kami percaya bahawa dengan pendekatan komprehensif dan inklusif yang ditunjukkan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Meskipun perjawatan tetap baharu dijangka dibuka setiap tahun seperti mana yang diumumkan, namun bilangan pelajar perubatan baharu di negara ini masih perlu dikawal supaya kita tidak menghadapi isu doktor kontrak yang sama dalam masa terdekat nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya