PBNS juga berhasrat miliki stadium sendiri - Utusan Malaysia

PBNS juga berhasrat miliki stadium sendiri

TUNKU SYED RAZMAN TUNKU SYED IDRUS AL-QADRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembinaan sebuah stadium baharu sememangnya turut menjadi hasrat untuk direalisasikan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

Menurut Presidennya, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, ia menjadi perancangan dalam tempoh jangka masa panjang PBNS iaitu untuk melihat sebuah stadium yang lebih selesa dan moden didirikan bagi kegunaan pasukan bolasepak khususnya pasukan Negeri Sembilan.

“Stadium itu mungkin dalam tempoh jangka masa panjang, ia tentu menelan belanja yang banyak dan stadium sedia ada juga bukan hak milik kami (PBNS).

“Ya, insya-Allah, menjadi harapan kami untuk melihat satu venue yang lebih selesa yang boleh kita megahkan. Doakan untuk kami pada masa yang akan datang, mungkin kita dapat bersaing di stadium kita sendiri yang lebih baik dan canggih,” katanya.

Beliau yang juga Tunku Besar Tampin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kongres PBNS Ke-88 yang diadakan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Tunku Syed Razman turut mengekalkan jawatan selepas menang tanpa bertanding sebagai Presiden PBNS bagi tempoh 2022-2025.

Sementara itu, beliau berterima kasih kepada semua perwakilan yang sekali memberi kepercayaan kepadanya untuk sekali lagi menerajui persatuan berkenaan.

“Saranan saya bagi semua yang terpilih kali ini adalah untuk kita sama-sama memikul tanggungjawab yang diberikan ini dan demi masa depan PBNS tentunya mengharapkan 100 peratus sokongan dan segala usaha yang dilakukan adalah untuk kemajuan bolasepak di Negeri Sembilan.

“Pembangunan bolasepak bukan sahaja di peringkat pasukan utama, Presiden dan Belia tetapi bagi bagi tempoh ini juga, saya ingin melihat perkembangan futsal, bolasepak wanita dan juga akademi dipertingkatkan lagi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN