Omicron melonjak, CAP bimbang penjualan kit ujian kendiri Covid-19 palsu  - Utusan Malaysia

Omicron melonjak, CAP bimbang penjualan kit ujian kendiri Covid-19 palsu 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan berhubung situasi penjualan kit ujian kendiri Covid-19 palsu atau yang tidak diluluskan di pasaran ketika ini. 

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, penjualan kit itu didorong permintaan tinggi di pasaran berikutan lonjakan kes positif Covid-19 ekoran penularan varian Omicron. 

Menurut beliau, tinjauan pihaknya mendapati kit ujian kendiri Covid-19 ketika ini dijual secara bebas dan berleluasa di beberapa lokasi seperti farmasi; kedai serbaneka; kedai runcit dan stesen minyak. 

“Dengan penjualan yang meluas ini, kami ingin tahu sama ada ia mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peralatan Perubatan (MDA). 

“Walaupun MDA telah mengenal pasti senarai 12 syarikat dan produk keluaran yang mendapat kelulusannya, pengguna mengalami kesulitan untuk mengesahkannya ketika membeli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sehubungan itu katanya, CAP menggesa kerajaan membataskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 dengan mengehadkannya kepada farmasi dan outlet runcit yang sah. 

Ini kerana ujar beliau, kemudahan membelinya di pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak akan menyulitkan kerja-kerja pemantauan oleh pihak MDA. 

Turut membimbangkan tambahnya,  kemungkinan terdapat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menjual kit ujian kendiri Covid-19 secara dalam talian. 

“Adakah Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengawal atau mengharamkan penjualan kit ujian kendiri dalam talian ketika ini? 

“Hasil ujian kit yang negatif dan palsu boleh membuatkan seseorang itu leka yang sebaliknya membantu penularan virus tersebut dan tidak berpeluang mendapatkan rawatan perubatan di peringkat awal,” jelasnya.

Tambah beliau, MDA sepatutnya mencipta logo umum yang digabungkan dengan kod QR yang mudah dikenali bagi membantu pengguna mengenal pasti peralatan yang diluluskan oleh badan itu. 

“Sekiranya perlu, pengguna boleh mengimbas kod QR itu bagi mendapatkan butir-butir produk berkenaan. 

“Sistem sedia ada dengan nombor siri MDA tidak begitu membantu kerana mengambil masa untuk memeriksa bungkusan berbanding dengan logo yang jelas dapat dilihat,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya