Lima perangkap kamera dipasang di lokasi penemuan harimau - Utusan Malaysia

Lima perangkap kamera dipasang di lokasi penemuan harimau

TANGKAP layar rakaman video seekor harimau dikesan berkeliaran di Jalan Simpang Pulau - Cameron Highlands yang tular dalam media sosial. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memasang lima unit perangkap kamera bagi mengesan kehadiran harimau belang di lokasi penemuan haiwan itu di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, langkah itu diambil susulan aduan orang awam yang melihat haiwan liar tersebut berkeliaran di kawasan berkenaan.

 Katanya, kakitangan Unit Harimau telah berada di lokasi itu sejak kes berkenaan dilaporkan, namun, belum menemukan sebarang tanda-tanda kehadiran haiwan tersebut.

“Kita memandang serius aduan yang diterima dengan pemantauan segera dijalankan di lokasi, namun, haiwan itu dipercayai masuk semula ke hutan simpan berhampiran. 

“Sebanyak lima unit perangkap kamera dipasang di beberapa kawasan, namun, belum menemukan petunjuk kehadiran haiwan pemangsa itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Yusoff, sekiranya harimau itu ditemukan, pihaknya tidak akan menangkap jika haiwan itu tidak memberi ancaman sebaliknya mahu haiwan tersebut masuk semula ke habitat asalnya.

“Pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi meredakan kegusaran orang ramai sekali gus memastikan keselamatan mereka dan harimau itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat yang merakamkan seekor harimau belang di satu kawasan semak yang berbukit.

Berdasarkan keterangan pada video itu, haiwan itu dikesan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands selepas kawasan rehat dan rawat atau Banjaran Cafe.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN