Lebih 300 treler, lori kargo masuk Thailand - Utusan Malaysia

Lebih 300 treler, lori kargo masuk Thailand

KEADAAN laluan trafik menuju bulatan utama di Padang Besar sesak hampir setiap hari ekoran treler termasuk lori karga beratur panjang untuk masuk ke Thailand di ICQS, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Lebih 300 treler termasuk lori kargo dan kenderaan dagangan pacuan empat roda (pikap Siam) memasuki Thailand sekali gus menyebabkan aliran trafik di Padang Besar di sini sesak hampir setiap hari.

Kesesakan tersebut dikatakan berpunca daripada sikap segelintir pemandu lori kontena dari negara jiran itu yang tidak mengambil endah undang-undang jalan raya ketika menunggu giliran untuk masuk ke Thailand di pintu sempadan menerusi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar.

Ekoran itu, pengguna sering kali terperangkap dengan kesesakan lalu lintas khususnya dari pukul 4.30 sehingga 6.30 petang

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil Persatuan Penghantar Barang-barang Padang Besar (PWPPB), Hisham Din berkata, kenderaan berat berkenaan khususnya yang kosong mengambil masa antara tiga minit untuk menjalani pemeriksaan kastam sebelum dibenarkan melintasi sempadan negara.

Katanya, sekiranya kenderaan tersebut membawa barang dagang untuk dieksport keluar, ia akan melalui pemeriksaan kedua di laluan sama yang boleh memakan masa sehingga setengah jam untuk sebuah lori treler dengan kontena.

“Secara kasar dianggarkan 300 treler akan pulang ke Thailand tidak termasuk kenderaan dagangan pacuan empat roda (pikap Siam) melalui kawasan dagang itu setiap hari.

“Hal demikian menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk apabila semua kenderaan sama ada kosong atau bermuatan itu berkongsi laluan dagang yang sama dan terpaksa menunggu giliran sehingga berlarutan ke jalan raya awam.

“Justeru, saya melihat, penggunaan laluan Unit Keselamatan dan Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di ICQS itu adalah satu keperluan bagi melancarkan aliran trafik awam menuju pusat beli-belah di sini dan mengurangkan kesesakan di sekitar pekan Padang Besar,” katanya.

Berikutan masalah kesesakan yang menimbulkan ketidakselesaan orang ramai itu, polis Padang Besar baru-baru ini mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang mengganggu lalu lintas selain melakukan kawalan trafik bagi melancarkan pergerakan kenderaan di lokasi tersebut.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati, aliran trafik mula lancar apabila pihak polis meletakkan anggota bagi mengawal bulatan utama menuju ke pusat beli-belah Padang Waremart itu yang berkongsi jalan sama menuju ke laluan dagang ke Thailand.

Seorang peniaga arked niaga Padang Besar yang ditemui turut menzahirkan rasa kesal dengan masalah kesesakan tersebut sehingga memberi kesan kepada pelancong yang datang ke sini.

Katanya, sekiranya kesesakan berterusan, ia akan memberi kesan dan imej buruk terhadap lokasi pelancongan popular di Perlis itu.

“Ada pengunjung yang mengadu mengenai kesesakan jalan raya selain risau keselamatan mereka selepas terpaksa berkongsi laluan sama dengan kenderaan berat itu.

“Mungkin lencongan untuk mengasingkan laluan awam dan laluan dagangan itu perlu dilaksanakan. Saya lihat, di Padang Besar sahaja kenderaan awam terpaksa berkongsi laluan dengan kenderaan dagangan antarabangsa bersama treler kontena itu.

“Sebagai peniaga, saya mungkin kurang terkesan, namun bagi pengunjung mereka akan terperangkap dalam kesesakan yang selalunya bermula dari pukul 4.30 hingga 6.30 petang dan ia hampir setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas baru-baru ini menegaskan, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengambil tindakan undang-undang tanpa kompromi terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas.

“Pada Khamis lalu polis mengeluarkan sebanyak 10 saman terhadap kenderaan perdagangan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN