GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mungkin tidak akan menyambung kontrak operator tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, dekat sini yang akan tamat pada 5 April ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga sedang menyediakan garis masa untuk pengoperasian tapak pelupusan sampah itu secara interim sekiranya kontrak operator sedia ada ditamatkan.
“Kerajaan negeri telah berbincang mengenai isu ini dua kali dalam Mesyuarat Exco yang mana Bahagian Kerajaan Tempatan serta MBSP telah membentangkan laporan proses penelitian penamatan kontrak operator syarikat ini pada 5 April ini.
“MBSP sedang menyediakan garis masa untuk menguruskan tapak pelupusan ini secara interim sekiranya kontrak ini ditamatkan sebelum sebuah syarikat dengan teknologi baharu dilantik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) serta Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) yang menjalin kerjasama dalam usaha memperkukuh hubungan dan merancakkan semula ekonomi Pulau Pinang.
Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah di Pulau Burung terbakar membabitkan kawasan seluas 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan mengambil masa hampir 20 hari untuk dipadamkan.
Menurut Kon Yeow, sehingga kini iaitu selepas api berjaya dipadamkan, tiada lagi kawasan di tapak pelupusan sampah berkenaan yang didapati mengeluarkan asap.
“Kerja tambakan tanah merah yang dilaksanakan syarikat konsesi diteruskan dan bahagian berkenaan (yang terbakar) ditutup dengan tanah merah. Kerja-kerja ini akan diteruskan di semua kawasan di atas tapak pelupusan,” katanya.
Dalam perkembangan lain Kon Yeow berkata, kerajaan negeri memantau dengan teliti sekiranya terdapat keperluan untuk menunda sebarang acara rasmi kerajaan susulan peningkatan kes Covid-19.
“Setakat ini, kerajaan negeri tidak ada acara rasmi yang berskala besar, dan jika ada pun, kita akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Selain itu, saringan kendiri juga dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan untuk hadir pada acara tertentu, jadi kita akan pantau dan sekiranya perlu, maka arahan dan keputusan akan dibuat,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga sedang meneliti waktu operasi perkhidmatan penjawat awam di Pulau Pinang susulan terdapat penjawat awam yang positif dan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19. –UTUSAN ONLINE