PUTRAJAYA: Kelantan tidak pernah sesekali dianaktirikan dalam pemilihan sebagai penganjur Sukan Malaysia (Sukma).
Itu penjelasan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan bagi tempoh 2013 hingga 2018, berhubung dakwaan dikeluarkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kenyataan dibuat Syed Saddiq itu seolah-olah menggambarkan menteri-menteri sebelumnya menafikan hak negeri berkenaan.
“Sewaktu saya menyandang portfolio itu, Kelantan pernah ditawarkan menjadi penganjur temasya itu melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma selepas Sukma Perlis 2014.
“Mengikut penggiliran negeri-negeri penganjur, selepas Sukma Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukan Malaysia.
“Namun, kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, ketika mengumumkan tuan rumah Sukma 2018 (Perak) dan Sukma 2020 (Johor), Kelantan turut dipertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukma 2022.
Beliau menegaskan bahawa tiada satu negeri pun yang dianaktirikan sewaktu beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan dalam apa-apa hal sekalipun.
“Pemilihan ini dibuat secara saksama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dianggotai 14 Exco Belia dan Sukan Negeri dan tertakluk kepada kesanggupan dan kesediaan negeri yang dipilih,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menerusi akaun rasmi TikTok mendakwa, beliau mengembalikan semula hak penganjuran Sukma kepada Kelantan sekali gus menggambarkan seolah-olah menteri sebelumnya menafikan hak tersebut. –UTUSAN ONLINE