Kerja dari rumah, penggiliran kerja kaedah terbaik cegah Covid-19 di tempat kerja - Utusan Malaysia

Kerja dari rumah, penggiliran kerja kaedah terbaik cegah Covid-19 di tempat kerja

KHAIRY Jamaluddin bercakap dalam sidang akhbar di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Pihak majikan digalakkan meneruskan amalan bekerja dari rumah (BDR) atau melaksanakan sistem penggiliran kehadiran ke pejabat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini adalah usaha bersama mewujudkan persekitaran yang selamat di tempat kerja. 

Katanya, KKM juga menyarankan supaya orang ramai mengaktifkan MySejahtera Trace di aplikasi MySejahtera bagi tujuan pengesanan kontak rapat. 

“Pemilik premis juga diminta untuk meningkatkan kawalan kemasukan pelanggan dengan menyemak status risiko dan vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera pelanggan. 

“Kita telah berjaya menstabilkan keadaan pandemik Covid-19 ini setelah gelombang Delta menyerang dan insya-Allah, kita juga boleh melawan varian Omicron,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Khairy berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menjalani segera ujian Covid-19 sekiranya bergejala serta muat naik keputusan sama ada positif atau negatif ke MySejahtera. 

Katanya, individu positif Covid-19 kategori 1 (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan), dan tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

“Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat untuk penilaian tahap teruk jangkitan akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon.

“Bagi individu yang positif kategori 2B (bergejala sederhana dan ke atas) atau berumur 60 tahun ke atas, mempunyai komorbid, mempunyai gejala yang semakin teruk dan tidak mengambil vaksin atau belum lengkap vaksin dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada PKD/CAC,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tempoh isolasi (pengasingan) bagi individu positif yang tidak bergejala dan telah lengkap vaksinasi adalah tujuh hari, manakala tempoh isolasi bagi individu positif, bergejala dan tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah selama 10 hari.

Katanya, individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif, tempoh kuarantin adalah lima hari bagi individu yang telah terima dos penggalak; tujuh hari bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap; 10 hari bagi individu yang belum lengkap vaksinasi atau belum divaksinasi. 

“Bagi semua individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif termasuk yang belum divaksinasi, sekiranya tidak mengalami sebarang gejala, tidak perlu hadir ke CAC dan tidak perlu lakukan ujian pengesanan Covid-19 kerana kontak rapat akan diberikan HSO digital dan hanya perlu jalani kuarantin di kediaman.

“Sekiranya bergejala, perlu lakukan ujian kendiri. Jika positif dan di dalam kategori 2A, teruskan pengasingan di tempat kediaman tanpa perlu hadir ke CAC manakala keputusan ujian mesti dilaporkan di dalam aplikasi MySejahtera dan lakukan pemantauan kesihatan harian kendiri menggunakan Health Assessment Tool (HAT) yang terdapat di dalam aplikasi MySejahtera,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya