JERANTUT: Kerajaan negeri menyumbangkan RM30,000 untuk membawa pulang serta menampung bayaran tunggakan rawatan rakyat Malaysia, Kamarulzaman Mohd. Fauzi @Jazuli, 50, yang menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, bantuan ini berikutan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Damak memohon sumbangan kepada kerajaan negeri semalam untuk membawa pulang Kamarulzaman dengan segera dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Selepas membaca laporan media, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersetuju menyumbangkan RM30,000 bagi tujuan pengurusan membawa pulang dan menampung bayaran tunggakan kos rawatan di sana,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi JPKK Damak, Yahya Hassan bagi memaklumkan keadaan Kamarulzaman di Korea Selatan di Kampung Mat Kilau di sini hari ini.
Yang turut hadir, iaitu sepupu Kamrulzaman, Noriza Yaakob dan Setiausaha JPKK Damak, Zulkifli Mamud.
Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, sumbangan akan terus disalurkan ke akaun sepupu Kamarulzaman, Solaha Adlan yang kini menjaganya ketika rawatan di sana serta pengurusan membawa pulang ke tanah air.
Beliau menambah, pada 30 Januari lalu, kerajaan negeri sudah memberikan sumbangan RM10,000 kepada Kamarulzaman bagi menampung bayaran bil hospital ketika dia mula menerima rawatan dalam tempoh 10 hari di sana.
“Kita akan segera menghantar (menyalurkan) terus wang ini kepada Solaha dalam masa terdekat bagi memudahkan dia menguruskan bayaran hospital yang tertunggak termasuk kos penerbangan pulang ke tanah air.
“Kerajaan negeri berterima kasih kepada Wisma Putra, Kedutaan Malaysia dan Kedutaan Korea Selatan di Seoul yang memberikan kerjasama membantu untuk memudahkan Kamarulzaman dibawa pulang dengan diiringi sepupunya nanti ke tanah air,” katanya.
Nazri berkata, Kamarulzaman yang berasal daripada Kampung Damak di sini akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Mac depan, pukul 10.20 malam dengan penerbangan Korean Air apabila pembelian tiket diuruskan oleh Solaha selepas mendapat kelulusan daripada pihak kedutaan di sana.
“Segalanya sudah siap diatur apabila tiba di KLIA nanti, Kamarulzaman terus dibawa ke Hoshas di Temerloh dengan ambulans untuk menyambung rawatan penyakit strok yang dihadapinya ketika berada di Korea Selatan,” katanya.
Sementara itu, Noriza bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada Menteri Besar serta Nazri bagi membolehkan bantuan RM30,000 yang dipohon oleh JPKK Damak untuk disalurkan bagi pengurusan membawa Kamarulzaman pulang ke tanah air.
“Keluarga di sini menerima berita gembira Kamarulzaman sudah pulih, lebih-lebih lagi apabila dipanggil oleh Nazri hari ini untuk menyampaikan maklumat sumbangan kerajaan negeri bagi membawa pulang sepupu saya di Korea Selatan.
“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan semua para penderma serta penduduk Kampung Damak dan Batu Balai yang banyak membantu kebajikan Kamarulzaman di sana. Semoga Allah SWT melimpahkan ganjaran yang besar,” ujarnya.
Kamaruzaman yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang tisu di Korea Selatan koma selepas muntah dan pengsan disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala di rumah sewanya.
Dia kemudiannya dirawat selama 34 hari sehingga kini termasuk 23 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju negara tersebut dan disahkan hampir pulih beberapa hari lalu bagi membolehkan dia pulang ke negara ini. –UTUSAN ONLINE