Kerajaan negeri akan bantu penduduk Bukit Tarek - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri akan bantu penduduk Bukit Tarek

AMIRUDIN Shari (kiri) menyampaikan sijil kemenangan kepada peserta larian virtual Ayuh Selangor 1.0 di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek, Hulu Selangor boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri akan membantu menyediakan infrastruktur termasuk bekalan air dan elektrik di penempatan berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pejabat tanah dan daerah berkenaan bagi menyelesaikan isu-isu lain yang dihadapi penduduk di sana.

“Kita akan bantu penduduk kawasan terbabit untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air dalam masa terdekat. Itu yang penting ketika ini kerana amat memerlukan dua bekalan tenaga itu untuk kegunaan seharian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penutupan Larian Virtual Ayuh Selangor 1.0 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini.

Bagaimanapun, Amirudin tidak menjelaskan tarikh mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang memutuskan perkara berkenaan bersama exco terlibat.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan rintihan beberapa penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek yang masih lagi tidak mendapat bekalan elektrik dan air, walaupun pihak kerajaan berjanji untuk membantu mereka mendapatkan kemudahan tersebut.

Malah penduduk dilaporkan tidak mengetahui perkembangan permohonan mereka selepas kerajaan negeri sebelum ini memberitahu membawa permasalahan Kampung Melayu Bukit Tarek dalam mesyuarat MTES. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN