SEREMBAN: Wanita warga emas, A. Sivapaki, 73, yang kini masih belum ditemukan difahamkan pernah beberapa kali hilang dan tidak pulang ke rumah sebelum ini.
Cucunya, K. Shrikumaran, 28, bagaimanapun berkata, kehilangan warga emas itu kali ini adalah lebih lama iaitu sudah memasuki tiga hari.
Jelas beliau, kali terakhir neneknya itu hilang adalah pada tahun 2006 sebelum dapat ditemukan semula.
“Nenek tinggal bersama datuk di rumah di dalam kawasan ladang ini dan dia memang sering berseorangan membawa lembu setiap pagi hingga petang.
“Sebelum keluar, dia tidak memaklumkan apa-apa. Dia pernah terjatuh sebelum ini sehingga menyukarkan dia berjalan. Saya juga tidak sangka sehingga ke hari ini dia masih belum ditemui,” katanya ketika ditemui pemberita di ladang kelapa sawit di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.
Menurut Shrikumaran, kali terakhir dia bertemu Sivapaki juga pada tiga hari yang lalu dan neneknya itu memakai tudung, baju berwarna biru dan berseluar hitam.
Utusan Online sebelum ini melaporkan Sivapaki dipercayai hilang sejak 30 Januari lalu ketika mencari lembu di kawasan ladang sawit di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau di sini.
Operasi mencari wanita warga emas tersebut diperhebatkan dengan kawasan pencarian diperluaskan sejauh lima kilometer dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis. -UTUSAN ONLINE