Isu sijil vaksin ditolak hanya berlaku di Filipina - Utusan Malaysia

Isu sijil vaksin ditolak hanya berlaku di Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu sijil vaksin digital negara ini sepatutnya tidak berbangkit kerana ia hanya berlaku di Filipina dan setakat ini tidak berlaku di negara lain.

Doktor Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan awam Hospital Kasih Cyberjaya, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, jika isu sama berlaku di negara lain juga, ia membawa maksud sijil vaksin negara mempunyai masalah dan perlu diteliti semula.

Menurutnya, perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Filipina juga perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Adakah terdapat syarat tertentu bagi kemasukan ke negara itu, sebagai contoh adakah mereka hanya menerima vaksin Pfizer dan bukan Sinovac atau pihak di sana tidak menerima kad vaksin yang ditulis tangan? Jadi ia perlu diselidik lebih mendalam,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin tujuh rakyat negara ini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila selepas kumpulan pelancong tersebut tidak dibenarkan memasuki Filipina oleh pihak berkuasa di sana kerana menerima vaksin di Malaysia.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali memaklumkan isu warganegara terkandas di negara jiran disebabkan salah faham pihak kerajaan Filipina.

“Perkara ini berlaku disebabkan salah faham pihak kerajaan Filipina berkenaan status Sijil Vaksinasi Covid-19 Negara. Perkara ini sudah pun diselesaikan oleh Kementerian Luar Negara dan pihak kerajaan Filipina semalam,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut Timbalan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof Dr Jamalludin Ab Rahman, komunikasi antara kerajaan Malaysia dan Filipina perlu dibuat bagi mendapatkan jawapan kenapa rakyat negara ini tidak dapat memasuki negara itu walaupun sudah mendapatkan vaksin penuh.

“Setiap negara berhak membuat keputusan ketika pandemik Covid-19 demi melindungi negara mereka daripada penularan virus berkenaan tetapi kenapa hanya rakyat Malaysia tidak dibenarkan? Mungkin ada salah faham atau syarat ditetapkan oleh Filipina yang kita tidak tahu.

“Kita perlu tahu kenapa mereka sangsi dengan aplikasi MySejahtera, adakah ia disebabkan kes penipuan sijil vaksin yang tular dan mereka menganggap perkara itu serius,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN