Iktiraf Premier Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Iktiraf Premier Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) perlu mengusulkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu pindaan Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 160 untuk menambah dan menguatkuasa takrifan Premier Sarawak sebagai gelaran mewakili ketua wilayahnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pindaan tersebut tidak lagi ‘menghalang’ keinginan Sarawak menamakan ketuanya dinamakan sebagai Premier jika proses pindaan dilakukan melalui proses sewajarnya.

Katanya, walaupun Sarawak berhak menukar nama jawatan Ketua Menteri kepada Premier melalui pindaan Perlembagaan Dewan Undangan Negeri (DUN), Premier masih belum diiktiraf di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi, ini tidak bermakna Premier tidak berfungsi, namun prosesnya tidak kemas dan kerajaan perlu meminda perkara-perkara berkaitan dengan menambah maksud kepada Premier atau apa-apa nama lain yang diberi.

“Memandangkan ia sudah dipinda secara sah dalam Perlembagaan Sarawak, maka Parlimen patut turut sama mengiktiraf hak wilayah ini dalam Perlembagaan.

“Jika mengiktiraf Sarawak sebagai wilayah yang tergolong dalam payung besar Malaysia, jadi apa jua bentuk agensi atau majlis dinamakan, dalam Perlembagaan secara langsung wilayah Sarawak termasuk Sabah hendaklah diguna pakai dalam Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin daripada DAP yang mempersoalkan jika pindaan pada gelaran Ketua Menteri tidak disusuli dengan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ketua eksekutif negeri hanya merujuk kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Selasa lalu, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 mengandungi klausa menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier dengan mendapat sokongan majoriti lebih dua pertiga ahli dewan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN