KANGAR : Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan golongan belia supaya sentiasa didorong menyertai sektor pertanian secara komersial
Titah baginda, mereka dinasihatkan mengambil alih operasi atau melaksanakan pengurusan ladang daripada golongan berusia yang mungkin ada di antara mereka tidak lagi berdaya untuk menguruskannya secara intensif.
Dalam masa sama, baginda bertitah, agensi-agensi di bawah pertanian hendaklah terus berganding bahu dalam usaha mengembalikan kegemilangan sektor itu dengan menerokai bidang baru yang berpotensi dibangunkan.
“Selain daripada itu, penglibatan golongan belia juga diharap dapat mentransformasikan sektor pertanian dengan penggunaan automasi, teknologi, pendigitalan dan pertanian pintar dalam memajukan pertanian daripada amalan konvesional.
“Lihatlah juga kemajuan pertanian di Taiwan dan Belanda. Walaupun negara-negara tersebut mempunyai tanah yang terhad, namun mereka berjaya menjadi negara pengeluar bunga-bungaan, sayur-sayuran dan produk pertanian yang termasyur di dunia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Jamek Beseri di sini hari ini.
Asnaf terbabit masing-masing menerima RM700 yang diagihkan amilnya, Kamaruddin Ismail.
Mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. –UTUSAN ONLINE