IPOH: Polis meningkatkan kawalan keselamatan di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini yang terjejas ribut bagi mengelak kejadian kecurian terutama melibatkan besi, kabel dan zink terpakai.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kawalan dan rondaan keselamatan telah dijalankan sejak Ahad lalu melibatkan unit rondaan (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan tugasan anggota dari balai berhampiran.
Menurutnya, polis tidak menolak kecenderungan berlakunya kegiatan curi memandangkan masih terdapat barang seperti besi dan zink berada dalam keadaan berselerak di kawasan ribut tersebut.
“Setakat ini, kita belum terima sebarang laporan berkaitan kecurian, begitupun kawalan dan rondaan tetap dipertingkatkan.
“Seperti besi dan zink-zink yang berterbangan, itupun boleh dikira berharga juga, jadi, kita percaya ia mungkin dijadikan sasaran oleh-oleh pihak-pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad di Kampung Tawas di sini, hari ini.
Yahaya turut menasihati mangsa-mangsa ribut di dua lokasi terlibat agar memberi perhatian kepada aset-aset rumah sepanjang meninggalkan kawasan kediaman masing-masing.
“Mana-mana barang berharga yang boleh diselamatkan, eloklah selamatkan dahulu dan dalam masa sama, polis akan terus beri khidmat pastikan keselamatan harta benda mangsa dapat dijaga,” katanya.
Yahaya berkata, sehingga hari ini sebanyak 305 laporan polis berkaitan kerosakan rumah akibat ribut telah diterima dan menjangkakan jumlah berkenaan akan terus meningkat memandangkan masih ada laporan baru diterima daripada mangsa terjejas.
“Kita minta mana-mana mangsa yang terkesan dalam kejadian ribut lalu untuk segera tampil buat laporan. Ini bagi memudahkan urusan terutama yang melibatkan tuntutan bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Ahad lalu, ratusan rumah di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai musnah dalam kejadian ribut mengakibatkan kerosakan teruk di bahagian bumbung. – UTUSAN ONLINE