Dron Kargu Turki beroperasi ala kamikaze - Utusan Malaysia

Dron Kargu Turki beroperasi ala kamikaze

DRON Kargu seperti mana yang didedahkan dalam media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA, Turki: Syarikat pertahanan Turki STM berhasrat menawarkan sistem dron Kargu canggih yang mampu mengesan individu atau objek secara spesifik dan dalam masa sama melancarkan serangan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengurus Besar STM, Fatih Ipek berkata, sistem tersebut boleh dikendalikan untuk operasi siang dan malam serta mampu melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan peninjauan serta menjejak pengganas.

Menurut beliau, Kargu akan bergerak dan beroperasi umpama ‘kamikaze’ ketika membuat serangan terhadap objek mahupun suspek pengganas yang dikesan.

“Di Turki dron ini digunakan oleh pasukan unit khas Turki. ATM telah menyatakan minat untuk memperoleh sistem Kargu dan telah membuat tawaran kepada kepimpinan tertinggi ATM.

“Rundingan telah diadakan untuk membekalkan Kargu.Malaysia boleh menggunakan sistem ini untuk kegunaan pasukan khas bagi melawan keganasan atau kawalan sempadan negara,” kata beliau semasa pertemuan dan sesi lawatan delegasi media di sini semalam.

Sistem dron ATM sebelum ini banyak digunakan bagi operasi pemantauan dan kawalan di sempadan negara terutama membabitkan kawasan berbukit dan hutan.

Ia turut digunakan bagi mengesan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) selain mengesan sebarang aktiviti penyeludupan.

Dron juga turut digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tugas berkaitan keselamatan awam termasuk ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga menawarkan pemasangan Kargu di Malaysia sekiranya Malaysia berminat mendapatkan sistem berkenaan.

“Setakat ini produk berkenaan sudah ditawarkan kepada tiga pelanggan antarabangsa kami dan jika Malaysia mengesahkan minat dan bersedia secara serius ke atas produk ini, negara asia tenggara itu akan menjadi pelanggan keempat kami nanti,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN