Dirgahayu Putrajaya diterbitkan Putrajaya FM sempena Hari Wilayah - Utusan Malaysia

Dirgahayu Putrajaya diterbitkan Putrajaya FM sempena Hari Wilayah

TANGKAP layar persembahan lagu Dirgahayu Putrajaya bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022. – Foto ihsan Putrajaya FM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022, Putrajaya FM mengambil inisiatif menerbitkan sebuah lagu baharu khas yang berjudul Dirgahayu Putrajaya.

Uniknya, melodinya dicipta sendiri oleh Pengarah dan Penerbit Eksekutifnya, Megat Iskandar Megat Zaharuddin At-Terawis yang juga merupakan juruhebah stesen itu dengan nama DJ M.

“Liriknya ditulis aktivis puisi terkenal dari kumpulan The Sajak Sisters, Noor Dalina Khalid yang merupakan karyawan tamu di Putrajaya FM,” jelas kenyataan saluran radio itu di sini hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu diilhamkan daripada kemeriahan lagu-lagu malar segar bagi meraikan perayaan khusus tertentu seperti Hari Raya Puasa, Bulan Kemerdekaan dan sebagainya lagi.

Bagaimanapun, ujarnya, setakat ini kebanyakan karya lagu yang mencerminkan imej Wilayah Persekutuan hanya bertemakan Kuala Lumpur dan menjadi tonggak utama sejak sekian lama.

Justeru, menerusi lagu Dirgahayu Putrajaya, stesen atas talian yang berpusat di Putrajaya itu berharap karya tersebut diangkat setara dengan lagu-lagu lain berkaitan Wilayah Persekutuan.

“Ia telah dimuat naik ke Internet semalam dengan proses rakaman dibuat di studio Putrajaya FM dan dapat kerjasama kru penerbitan portal berita rakan strategik rasmi, WilayahKu,” katanya.

Menariknya, video lagu berdurasi lima minit 29 saat itu menampilkan dua artis bekas program popular Akademi Fantasia iaitu Aliff Razali dan Nas Adilla selain semua juruhebah Putrajaya FM.

Di samping itu, mereka turut merakamkan video lagu kombinasi bertajuk Medley Kuala Lumpur antaranya ialah Keroncong Kuala Lumpur dengan asalnya dinyanyikan oleh Tan Sri P. Ramlee.

Tidak ketinggalan ialah Sesat Di Kuala Lumpur (Datuk M. Nasir), Kuala Lumpur Menyinari Hidupku (Malek Ridzuan), Senja Di Kuala Lumpur (Broery Marantika) dan Kotarayaku (Altimet).

Turut dimuat naik stesen tersebut semalam ialah lagu tema program sitkom televisyen sebanyak 13 episod, Kelas IT Kampung Ampas, yang dijayakan Putrajaya FM dengan kru WilayahKu.

“Siri ini diterbitkan Mohd. Khaidhir Redza Daud yang juga dikenali DJ Q di Putrajaya FM, dan bakal disiarkan saluran TV tempatan dengan lagu tema dibawakan para pelakon,” katanya.

 Putrajaya FM bersiaran 24 jam setiap hari menerusi laman sesawang rasmi www.putrajaya.fm dengan kerjasama erat pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya