Dakwaan rasuah: Tiada laporan diterima- PDRM - Utusan Malaysia

Dakwaan rasuah: Tiada laporan diterima- PDRM

RAZARUDIN Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerima rasuah dalam mengendalikan kes anak ahli perniagaan yang ditahan atas kesalahan dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata,  tiada laporan polis diterima pihaknya membabitkan dakwaan itu.  

“Tiada laporan polis dibuat membabitkan dakwaan itu. Saya hanya boleh sahkan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Semalam, Tommy membidas dakwaan pengguna Twitter dikenali Edisi Khas kononnya beliau menerima rasuah ketika mengendalikan kes tersebut.

Bekas Peguam Negara itu berkata, peguam kepada tertuduh menghantar representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara bagi mempertimbang keputusan untuk membuat pertuduhan.

Bagaimanapun, selepas mengkaji representasi dan kertas siasatan (IP), menyemak peruntukan undang-undang berkaitan dan berbincang dengan semua Timbalan Pendakwa Raya, Tommy memutuskan untuk mengurangkan pertuduhan.

Penerimaan representasi daripada peguam dan tertuduh serta mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan selepas itu adalah perkara biasa di Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini, akaun Twitter, Edisi Khas mendakwa, Tommy ketika bertugas sebagai Peguam Negara menutup kes anak ahli perniagaan terkenal yang ditahan pada 2019 kerana dikatakan memiliki dadah dalam kuantiti banyak dan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN