BUTTERWORTH: “Saya harap KPM (Kementerian Pendidikan) akan beri masa setahun lagi supaya kita dapat cari jalan penyelesaian yang terbaik untuk SK (Sekolah Kebangsaan) Assumption ini dan saya percaya ia boleh dilakukan dengan kerjasama semua pihak.”
Itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees berhubung isu penutupan sekolah yang berusia hampir sembilan dekad itu ketika ditemui pemberita di pekarangan sekolah berkenaan di Bagan Dalam, di sini hari ini.
Satees berkata, mengikut KPM, sekolah itu akan ditutup mulai 30 Mac depan iaitu sebulan daripada tarikh asal penutupan yang dihebahkan sebelum ini iaitu pada penghujung Februari ini.
“Saya sendiri telah berjumpa dengan tuan tanah iaitu Sri Avenue (Sdn. Bhd.) untuk membincangkan hal pengambilalihan tanah SK Assumption dan mereka bersetuju menangguhkan proses tersebut hingga tamat penggal persekolahan tahun ini.
“Kami juga telah ke pejabat kementerian di Putrajaya untuk menghantar surat rasmi bagi memohon penangguhan penutupan SK Assumption baru-baru ini, namun, kami tidak dibenarkan masuk ke pejabat tersebut pada masa itu,” katanya.
Sehubungan itu, kata Satees, pihaknya akan terus berusaha meyakinkan KPM menarik balik penutupan sekolah tersebut dan memberi ruang kepada kaedah penyelesaian yang bersifat ‘menang-menang’.
“Jika kementerian masih berkeras, kita akan bawa para alumni dan ibu bapa untuk mengadakan protes secara aman di hadapan pejabat KPM di Putrajaya pula selepas ini,” ujarnya.
Satees ditemui ketika menyertai bantahan secara aman berhubung penutupan sekolah itu bersama lebih 30 ibu bapa, murid, alumni serta penduduk setempat.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri II yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Pendidikan serta Sains dan Teknologi negeri, Dr. P. Ramasamy serta jurucakap Pasukan Petugas Bersama, Save Assumption School iaitu Vernon Fernandez.
Dalam pada itu, Ramasamy berkata, beliau tidak faham mengapa sekolah itu perlu ditutup sedangkan ada sekolah lain dengan jumlah murid yang jauh lebih sedikit pernah ‘diselamatkan’ sebelum ini.
“Saya tertanya-tanya apa logiknya penutupan sekolah ini oleh KPM ketika tuan tanah sendiri faham tentang sekolah dan masa depan murid serta bersedia untuk berunding,” katanya.
Difahamkan, seramai 53 orang murid sedang mengikuti pengajian di sekolah tersebut untuk sesi persekolahan pada tahun ini. -UTUSAN ONLINE