Belajar bersama dan Youtube jadi rahsia kecemerlangan kembar seiras - Utusan Malaysia

Belajar bersama dan Youtube jadi rahsia kecemerlangan kembar seiras

MUHAMMAD Aidil Mohamad Fazli (dua dari kanan) dan Muhammad Fitri Mohamad Fazli (dua dari kiri bersama ibu bapa mereka pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Ampangan Ke-6 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang kembar seiras merupakan antara pelajar cemerlang pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Ampangan Ke-6 yang diadakan di sini hari ini.

Muhammad Aidil Mohamad Fazli, 21 dan Muhammad Fitri Mohamad Fazli, 21, yang mengambil Diploma Teknologi Elektrik telah mencapai impian mereka dalam bidang tersebut dan kini bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang elektronik di sini.

Pasangan kembar itu mencatat keputusan membanggakan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) masing-masing 3.73 dan 3.72.

Menurut Muhammad Aidil, selepas tingkatan tiga dia dan kembarnya memilih untuk meneruskan pengajian di Kolej Vokasional Ampangan kerana minat yang mendalam dalam bidang teknikal.

“Tidak sangka kami berdua diterima masuk ke Kolej Vokasional Ampangan dalam jurusan yang sama iaitu Diploma Teknologi Elektrik memandangkan saya juga memohon jurusan automotif.

“Antara tips kejayaan kami adalah dengan menjadikan Youtube sebagai medium pembelajaran tambahan serta melakukan kerja teknikal bersama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Ampangan Ke-6 di sini hari ini.

Sementara itu, adik kembarnya,  Muhammad Fitri berkata, tidak dinafikan pada mulanya ramai yang tidak dapat membezakan antara mereka berdua yang mempunyai raut wajah seiras.

“Kelebihan apabila saya dan kembar dalam satu kelas memudahkan kami belajar bersama apa yang saya tidak tahu abang bantu dan begitulah sebaliknya.

“Selain berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam bidang akademik, kami tetap aktif bermain sepak takraw,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut hadir dan menyampaikan sijil graduasi kepada 131 orang pelajar.

Aminuddin berkata, graduan kolej vokasional juga mampu membina masa depan yang lebih cemerlang dan membawa nama pusat kemahiran itu apabila memasuki pasaran pekerjaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara. 

“Saya menyeru semua pelajar untuk meneruskan usaha membawa kolej vokasional menjadi yang terkehadapan dalam meniti arus Revolusi Industri 4.0 dan meniti arus pemodenan global pendidikan masa kini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN