Bandar Non-Ferus pemangkin ekonomi Kedah - Utusan Malaysia

Bandar Non-Ferus pemangkin ekonomi Kedah

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengalu-alukan langkah Syarikat United Base Metals (UBM) Sdn. Bhd. yang merancang untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu dikenali sebagai Bandar Non-Ferus di tapak bekas kilang Perwaja Steel, Gurun.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sekiranya hasrat itu menjadi kenyataan, langkah tersebut diyakini mampu menjadi antara pemangkin kepada ekonomi negeri.

Bagaimanapun, katanya, usaha ke arah itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan terdapat peraturan ketat ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), bagi memastikan pencemaran tidak berlaku.

“Dalam lawatan ke Dubai penghujung tahun lalu, saya ada berjumpa dengan beberapa pemain industri non ferus ini. Memang betul, industri ini melibatkan banyak sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) untuk digunakan.

“Oleh itu, saya telah minta exco terlibat untuk memberi perhatian terhadap perkara tersebut. Exco berkenaan serta JAS juga sudah melawat syarikat berkenaan bagi memberi panduan mengenai perkara yang perlu dipatuhi, sebelum kelulusan dapat diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 21 Februari lalu melaporkan mengenai hasrat UBM untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu tersebut yang dijangka mampu menarik pelaburan mencecah antara RM2 bilion hingga RM3 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan bahawa tapak bekas kilang Perwaja Steel yang gah sebagai syarikat konglomerat suatu masa dahulu, kini bukan sahaja terbiar, malah, penduduk mendakwa terdapat kegiatan mencurigakan di lokasi itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menambah, ketika ini syarikat tersebut sedang dalam proses perbincangan bersama pemilik tanah untuk membeli keseluruhan tanah seluas 200 hektar di kawasan itu bagi memastikan rancangan tersebut berjalan lancar.

“Dalam masa sama, saya difahamkan mereka sudah berusaha selama setahun lebih untuk memenuhi standard ditetapkan JAS berkaitan industri berkenaan. Saya dimaklumkan syarat tersebut amat ketat dan sukar dipenuhi.

“Saya harap keperluan itu dapat dicapai segera supaya industri tersebut dapat berlangsung secepat mungkin. Tapak itu pun dah lama ditinggalkan hingga naik semak samun, jadi, apabila mereka masuk dan buat industri itu, saya alu-alukanlah dengan sekarang mereka masih berusaha memenuhi syarat serta kriteria ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengakui, sebelum ini memang terdapat isu mengenai operasi kilang di kawasan tersebut berkaitan pelepasan asap pada waktu malam.

“Saya dah minta exco serta JAS turun buat siasatan dan pihak syarikat kemudiannya datang berjumpa dan berjanji mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya