8,027 jemaah batal umrah dibayar sagu hati mulai 18 Februari - Utusan Malaysia

8,027 jemaah batal umrah dibayar sagu hati mulai 18 Februari

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyalurkan pembayaran sagu hati yang bermula pada Jumaat depan kepada sejumlah 8,027 jemaah yang terpaksa membatalkan ibadah umrah mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sagu hati sebanyak RM1,671 seorang bakal dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan Tabung Haji.

“Ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan kerana mereka itu membatalkan pemergian ke Tanah Suci akibat penularan varian Omicron bermula 8 Januari lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Langkah itu juga ekoran penggantungan semula perjalanan penerbangan pesawat untuk semua urusan ibadah umrah selama sebulan yang baru berakhir ditarik balik pada 7 Februari lalu.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kemudian menyerahkan senarai nama jemaah terkesan daripada agensi umrah terbabit dan layak menerima sagu hati kepada Tabung Haji.

Berdasarkan ketetapan mesyuarat diadakan yang turut melibatkan Kementerian Kewangan, pembayaran disalurkan menerusi akaun simpanan Tabung Haji bagi memudahkan urusan.

“Bagaimanapun, daripada jumlah disenaraikan itu, pihak Tabung Haji mendapati ada seramai hampir 1,000 jemaah masih belum lagi mempunyai akaun simpanan Tabung Haji,” jelas Idris.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua jemaah yang terlibat supaya segera tampil membuka akaun berkenaan sebelum 18 Februari ini untuk melancarkan penyaluran sagu hati tersebut.

Jemaah terbabit boleh melayari laman sesawang www.thijari.com.my untuk membuka akaun itu dalam talian dan hadir ke kaunter Tabung Haji bagi proses pengaktifannya secara biometrik.

Namun, ujarnya, mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar menerusi kaedah atas talian itu boleh terus ke cawangan Tabung Haji terdekat untuk tujuan pendaftaran berkenaan.

Jemaah terbabit, katanya, diberi jaminan akan menerima layanan dengan serta merta dan dibantu sebaik-baiknya oleh petugas tanpa perlu mereka beratur dan menunggu giliran yang lama.

“Saya juga memaklumkan kepada pihak Tabung Haji agar segala urusan tuntutan saguhati ini akan dipermudahkan dan tidak berlaku kesulitan besar untuk jemaah terbabit,” tambah Idris. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN