Zamrose ketuai senarai penerima pingat Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Zamrose ketuai senarai penerima pingat Negeri Sembilan

ZAMROSE MOHD ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain mengetuai senarai 410 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-74 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, hari ini.

Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SNSS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima anugerah yang sama ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holding Berhad, Datuk Lee Tian Hock.
Penasihat Undang-undang negeri Negeri Sembilan, Muzalmah Mustapha Kamal pula menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.

Dua penerima Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk ialah Pengelola Bijaya Diraja, Kapten (Bersara) Azizi Mohamad Ali dan Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh Penghulu Luak Inas, Mohammad Ariff Sidek.

Dalam pada itu, seramai 22 individu pula dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya ialah Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Ahmad Azam Hamzah, Pakar Perunding Kardiologi Hospital Serdang, Dr. Asri Ranga Abdullah Ramaiah, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan Mc Donald’s Malaysia, Azmir Jaafar, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr. Harlina Abdul Rashid, Penasihat Agama kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Jaafar Muhammad dan Penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin.

Sementara itu, seramai 11 individu menerima Darjah Setia Negeri Sembilan, dua penerima Darjah Tuanku Muhriz, Darjah Pekerti Terpilih (31), Ahli Setia Negeri Sembilan (43), sorang penerima Setiawan Tuanku Muhriz, Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (98), Pingat Jasa Kebaktian (171), Bentara Tuanku Muhriz (10) dan 16 pe­nerima Pingat Khidmat Lama.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik dalam sidang akhbar di Wisma Negeri dekat sini semalam yang dijalankan secara dalam talian berkata, istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Ke-74 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini adakan diadakan secara tiga sesi bermula 14 Januari.

“Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 14 Januari.

“Majlis Istiadat tersebut akan dijalankan secara tiga sesi iaitu hari ini (14 Januari) bagi sesi I, 22 Januari bagi sesi II dan 27 Januari bagi sesi III di Balairung Seri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya