PUTRAJAYA: Pihak yang meminta subsidi minyak masak dihentikan perlu memberi pilihan mengenai kaedah yang lebih baik untuk membantu rakyat agar ia benar-benar menepati matlamat asal kerajaan iaitu membantu golongan berpendapatan rendah B40.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem subsidi minyak masak berpeket yang diguna pakai kerajaan pada masa ini masih baik.
Ia juga berkesan kerana tetap sampai kepada golongan sasaran walaupun berlaku masalah kekurangan stok di kawasan tertentu.
Menurutnya, cadangan pemansuhan pemberian subsidi yang bertujuan membolehkan rakyat mendapatkan keperluan asas itu pada harga lebih murah, boleh menjejaskan golongan B40.

“Kita faham ada kekurangan bekalan, ada setengah tempat dan ada ketika tempoh tertentu tidak sampai stok yang mungkin berlaku kes terpencil, sebab itu kita ada penguat kuasa untuk pantau keadaan ini, tetapi keseluruhannya memang dapat juga sampai kepada golongan sasar.
“Begitu juga jika ada peniaga yang tidak beretika, kita juga melaksanakan penguatkuasaan tegas yang sentiasa berada di lapangan, tetapi kalau kita tidak ada sistem (subsidi) ini mungkin yang lebih terkesan ialah golongan B40 sebab mereka masih boleh mendapatkan bekalan minyak pada harga murah walaupun ada berlaku masalah.
“Kita terima baik pandangan (pemansuhan harga subsidi), namun, kita mahu tanya mereka apakah ada opsyen lebih baik?” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pandangan Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin yang membangkitkan bahawa kerajaan tidak harus takut untuk menghapuskan subsidi minyak peket sebaliknya mencari alternatif bagi membantu kumpulan B40 yang tidak lagi boleh menikmati bantuan tersebut.
Ini kerana pemberian subsidi minyak peket tersebut bukan sahaja ‘dinikmati’ peniaga tempatan dan peniaga warga asing tetapi juga orang kaya sehingga berlaku masalah kekurangan stok bekalan keperluan itu di beberapa tempat di negeri-negeri tertentu.
Dalam pada itu, Alexander berkata, sememangnya dasar subsidi minyak masak berpaket ini hanya untuk kegunaan isi rumah dan bukannya untuk golongan peniaga yang bertindak membeli secara berlebihan sehingga berlaku terputus bekalan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan masih prihatin terutama golongan peniaga kecil-kecilan yang menggunakan minyak masak peket untuk berniaga bagi mencari sedikit pendapatan untuk menampung kehidupan.
Untuk itu, beliau berkata, pihaknya memberi sedikit kelonggaran kepada golongan peniaga sedemikian kerana mereka juga dalam golongan B40 dan pelanggan yang membeli hasil jualan mereka juga dalam golongan B40.











