PETALING JAYA: Keputusan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini merupakan satu langkah terbaik kerana ia termasuk dalam Maqasid Syariah.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, keputusan penangguhan itu menunjukkan kerajaan menjalankan tanggungjawab apabila melihat keadaan yang boleh mengancam keselamatan nyawa rakyat.
Katanya, PUM menyokong tindakan tersebut yang didasari fakta-fakta jelas mengenai bahaya pengenalan varian baharu Covid-19 sehingga satu tempoh yang dilihat sesuai apabila kembali pulih atau satu kaedah rawatan terbaik ditemui.
“Pengguhan itu juga termasuk dalam Maqasid Syariah iaitu Hifz al-Nafs, menjaga nyawa.
“Sebagai seorang muslim, kita perlu bertindak mengikut kaedah agama yang sudah pun mempunyai panduan kepada kita.
“Maka, kita minta rakyat bersabar sebentar, teruskan munajat dan doa agar musibah ini segera berakhir dan rakyat dapat kembali menunaikan ibadah Umrah dan Haji dengan aman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan itu, tiada perjalanan mengerjakan ibadat tersebut selepas 7 Januari ini sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak.
Senada dengan beliau, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, pihaknya percaya keputusan itu sudah dipertimbang sebaiknya berikutan kesan wabak Covid-19 yang menjangkiti mereka yang pulang dari Tanah Suci itu.
Maka katanya, kerajaan bukan lagi berhak, tetapi memang sepatutnya menyekat penularan wabak yang dibimbangi varian Omicron itu.
“MDN menyokong penuh keputusan kerajaan menyekat perjalanan umrah untuk sementara waktu kerana mengambil kira wabak Omicron merebak di negara ini.
“Ini kerana pergi menunaikan umrah itu adalah satu ibadah yang sunat jika ada peluang yang baik serta keselamatan yang terjamin.
“Malah, saya rasa kerajaan Arab Saudi bukan sahaja sudah gagal, tetapi belum mampu mengawal wabak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Mahmood Zuhdi berkata, sebarang alasan yang mempunyai kaitan dengan agenda orang bukan Islam dan sebagainya menunjukkan mereka itu tidak mempunyai cara berfikir yang tidak bertanggungjawab.
“Saya sangat kecewa dengan masalah memberontak dalam kalangan masyarakat terutamanya orang Melayu yang tinggal di luar bandar termasuk ‘lebai’, yang boleh berfikir dengan selfishnya.
“Semua pihak perlu tahu, penangguhan perjalanan umrah adalah pandangan kerajaan untuk menjaga keselamatan dalam negara supaya tidak kucar kacir terutamanya dengan wabak varian Omicron,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










