Sidang khas Dewan Rakyat tentang banjir esok cuba alih perhatian isu lain  - Utusan Malaysia

Sidang khas Dewan Rakyat tentang banjir esok cuba alih perhatian isu lain 

KELVIN YII LEE WUEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan didakwa cuba mengalihkan perhatian umum dengan isu lain termasuk integriti dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat mengenai banjir bermula esok. 

Ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, adalah melucukan apabila kerajaan mahu membahaskan isu tersebut sedangkan bencana banjir luar jangka sudah kembali reda. 

Malah, beliau berpandangan tiada keadaan mendesak untuk mengadakan sidang khas tersebut yang sepatutnya dibahaskan sebulan lalu namun ditolak oleh kerajaan. 

“Terbang ke Kuala Lumpur untuk sesi Parlimen ‘satu hari istimewa’ kononnya tentang banjir. Sungguh melucukan bagaimana kerajaan hanya membuat keputusan mengadakan sesi ini, lama selepas banjir reda dan memutuskan menolak tuntutan kami membahaskannya dan menuntut tindakan pantas semasa kemuncak banjir. 

“Walaupun dengan integriti SPRM kita terancam, kerajaan nampaknya berlengah-lengah dan cuba ‘menyapu’ isu di bawah permaidani, yang menjejaskan kedudukan kita dengan pelabur. 

“Esok beberapa usul tergempar telah dikemukakan mengenai isu ini, jadi, kita akan lihat sama ada speaker dewan membenarkannya, atau lebih banyak alasan dan mencari keperluan perdebatan yang tidak konklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Beliau berkata demikian dipercayai sedang dalam penerbangan ke ibu negara bagi menghadiri mesyuarat khas Dewan Rakyat pada pagi esok. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Dewan Rakyat akan bermesyuarat khas pada 20 Januari bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir, pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.  

Takwim Parlimen bagi Penggal Kelima Parlimen Ke-14 2022 bermula selama 16 hari menyaksikan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang pada 28 Februari 2022 hingga 24 Mac 2022 dengan titah diraja pukul 10 pagi. 

Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan memetik Ahli Parlimen Cheras dari DAP, Tan Kok Wai berkata, mesyuarat berkenaan disifatkan sebagai tidak cukup bagi membincangkan masalah rakyat yang terjejas akibat banjir. 

Penasihat DAP Kebangsaan itu menggesa melanjutkan tempoh masa mesyuarat berkenaan memandangkan masa mesyuarat khas sesingkat itu tidak dapat menampung semua perkara khususnya melibatkan pasca banjir.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN