SHAH ALAM: Banjir luar biasa hujung tahun lalu di beberapa kawasan di negara ini menyebabkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan negara mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM90.6 juta.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, jumlah kerugian itu membabitkan 7,578 pemain industri di seluruh negara.
Menurutnya, Selangor paling teruk terjejas dengan nilai kerugian dianggarkan RM32.8 juta, membabitkan 1,100 pemain industri.
“Angka ini dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa apabila ‘survey’ secara keseluruhan dibuat kerana kerosakan adalah cukup extensive.
“Walaupun cabaran ini dilalui dengan baik, terutama dalam memastikan bekalan makanan mencukupi, kita perlu menerima hakikat bahawa ekonomi negara menerima kesan begitu mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor ke-44 di sini malam tadi yang dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim dan Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Datuk Abd.Rahman Bakri.
Ahmad berkata, dalam konteks keluarga PPN Selangor, sebanyak 91 projek pertanian terjejas dengan nilai kerugian dianggarkan RM1.943 juta.
“Ini membabitkan lima Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu PPK Kuala Langat, Klang, Hulu Langat, Beranang dan Sepang,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memulihkan kembali usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, beliau berharap semua jabatan dan agensi Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bersama golongan sasar bekerjasama dalam mengadaptasikan teknologi dalam bidang pertanian.
“Daya saing sektor pertanian perlu kita pertingkatkan agar dapat menghadapi cabaran pada masa akan datang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE