SDG tangani pembangunan tidak lestari, elak tragedi bencana berulang - PM - Utusan Malaysia

SDG tangani pembangunan tidak lestari, elak tragedi bencana berulang – PM

ISMAIL Sabri Yaakob merasmikan Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG di kementerian Kewangan, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) perlu menjadi paksi utama dalam semua perancangan dan dasar terutamanya dalam menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar. 

Perdana Menteri berkata, perkara ini perlu diutamakan, lebih-lebih lagi bagi mengelakkan tragedi seperti bencana banjir  yang berlaku akhir tahun lalu boleh berulang pada masa hadapan. 

Beliau menegaskan, sekiranya negara mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi seperti mana musibah dilalui baru-baru ini, ataupun mungkin lebih teruk lagi. 

Jelas beliau, ia melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan.

“Bencana banjir yang melanda negara baru-bari ini, yang menjejaskan kehidupan Keluarga Malaysia di beberapa negeri yang bukan sahaja kehilangan harta benda, tetapi orang tersayang.

“Saya berharap perkara ini dapat dijadikan iktibar semua pihak supaya dapat mengimbangi antara pembangunan dan kepentingan melindungi serta memulihara alam sekitar,” katanya ketika berucap melancarkan penubuhan Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Dana Amanah MySDG merupakan koloborasi antara kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan bagi menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

Kata beliau, matlamatnya antara lain bertujuan membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada siapa pun dalam Keluarga Malaysia terpinggir daripada arus pembangunan.

Jelas beliau, penubuhan Yayasan MySDG pula mampu menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan SDG bagi memastikan Agenda 2030 tercapai.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mampu untuk melaksanakan SDG secara bersendirian, sebaliknya sokongan sektor perniagaan, institusi kewangan dan masyarakat perlu bersama-sama menyumbang dan turut serta dalam melengkapi usaha kerajaan mencapai matlamat  SDG menjelang 2030.

Beliau turut mengumumkan mana-mana pihak menyumbang kepada Dana Amanah MySDG menerima potongan cukai penuh sehingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan agregat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya