Putuskan rantaian permintaan terhadap PATI - Utusan Malaysia

Putuskan rantaian permintaan terhadap PATI

Rangkaian kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini perlu diputuskan.- Gambar Hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu membentuk satu pelan strategik untuk memutuskan rantaian permintaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam semua sektor pekerjaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ini kerana PATI datang ke negara ini kerana terdapat permintaan terhadap kehadiran mereka.

Menurutnya, peluang pekerjaan yang banyak dalam sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar terbuka luas kepada mereka.

“Anak tempatan tidak minat bekerja dalam sektor 3D selain mereka tiada kemahiran untuk bekerja di ladang-ladang atau menjadi buruh menyebabkan negara berterusan bergantung kepada PATI,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, rantaian permintaan itu boleh diputuskan menerusi kewujudan satu pangkalan data pekerjaan yang dikuasai PATI supaya kerajaan boleh memberikan lebih tumpuan kepada rakyat tempatan untuk menerokainya.

“Ketika mencari punca mengapa PATI masuk, kita perlu melihat faktor mendorong mereka berbuat demikian iaitu bagi menampung kekurangan peluang pekerjaan yang didominasi warga asing.

“Misalnya, sektor perladangan, pertanian dan pembinaan yang kebanyakan melibatkan warga warga termasuk PATI. Jika tiada mereka, siapa hendak buat kerja-kerja ini sedangkan rakyat kita kurang latihan dalam bidang berkenaan.

“Selain itu, kita perlu meningkatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mikro dalam kalangan rakyat tempatan supaya mereka mendapat bimbingan sewajarnya,” katanya.

Semalam Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hanya 3,611 PATI yang diseludup masuk ke negara ini dikesan polis dalam tempoh dua tahun lalu walaupun jumlah yang terlepas dipercayai lebih ramai.

Dalam pada itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan memberitahu, pihak berkuasa perlu menjejaki punca dan dalang penyeludupan PATI sekiranya mahu seirus mengekang kegiatan itu yang masih tidak kesudahan.

Katanya, Malaysia juga tidak boleh secara solo dalam membanteras aktiviti penyeludupan PATI, contoh negara jiran seperti Indonesia turut perlu terlibat memerangi dalang utama kegiatan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN