PRN Johor: UMNO belum tentukan calon parti itu - Utusan Malaysia

PRN Johor: UMNO belum tentukan calon parti itu

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : UMNO belum memutuskan jumlah sebenar muka baharu yang bakal diketengahkan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, masih ada masa untuk parti menentukan pemimpin atau individu yang benar-benar layak mewakili parti dan sekali gus meraih kemenangan.

“Itu belum tahulah, penamaan calon bukan esok, ada tiga atau empat minggu lagi,” katanya.

Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan selepas Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk HasnI Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor semalam.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang memaklumkan bahawa beliau tidak bertanding dalam PRN Johor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mohamed Khaled tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dalam pertandingan empat penjuru dengan kawasan itu dimenangi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh dengan 8,746 undi.

Bekas Menteri Besar Johor itu juga kalah di Parlimen Pasir Gudang dengan ditewaskan oleh calon PKR, Hassan Karim dengan majoriti besar 24,726 undi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×