PETALING JAYA: Parti-parti politik pembangkang diharap dapat mencapai kesepakatan di bawah satu ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) untuk menumpaskan kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara satu lawan satu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tanpa pendekatan tersebut, kemungkinan besar gabungan pembangkang sukar mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri Johor diterajui Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Dalam konteks pilihan raya negeri Johor, kita perlu ada satu platform dan gagasan yang sama, iaitu melawan BN dan PN, jika tidak boleh adakan perlawanan satu-satu, ini sukarkan usaha untuk menang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, DAP berharap dapat bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memandangkan parti itu dilihat ‘mesra PH’.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas sama ada kerjasama disebutkan itu antara lain melibatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dikepalai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Yang parti lain, PH akan bincang lagi, dan harap dapat buat dalam satu khemah besar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ahli Parlimen Bagan itu berkata, tindakan bekas ahli partinya yang menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak sesekali menjejaskan struktur kekuatan DAP.
Hal itu memandangkan, pihak yang berpaling tadah tersebut hanyalah beberapa individu yang tidak lagi aktif dalam hal ehwal politik parti semasa berada dalam DAP.
“Dalam hal ini, jawatankuasa negeri yang akan memberi maklum balas secara keseluruhan. Tetapi, mereka hanyalah bekas ahli sahaja,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook menyuarakan perkara sama dan berkata: “Tiada kesan pun kerana sebilangan kecil sahaja keluar parti. Lagipun, mereka sudah tidak aktif lagi,”
Semasa program Warisan Night di Kota Kinabalu semalam, bekas ADUN Selangor, Bryan Lai Wai Chong bekas Ahli Parlimen Jelutong, Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun dan bekas ADUN Batu Lanchang, Datuk Danny Law Heng Kiang kesemua berasal dari DAP menyertai Warisan.
Terdahulu, ADUN Sri Tanjong, Justin Wong; ADUN Elopura, Calvin Chong dan bekas Senator, Adrian Lasimbang meninggalkan DAP serta-merta kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan DAP negeri. – UTUSAN ONLINE










