PRN Johor: Pembangkang, Bersatu tak setuju - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pembangkang, Bersatu tak setuju

Pakatan Harapan dan Bersatu tidak berhasrat PRN Johor diadakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: PKR dan Pakatan Harapan (PH) Johor tetap berpendirian tidak setuju terhadap sebarang usaha mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat seperti spekulasi yang semakin bertiup kencang.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tiada masalah untuk kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad kekal dan berfungsi seperti biasa meskipun kini hanya berkelebihan satu kerusi.

Kata beliau, sepatutnya semua pihak memberi fokus kepada pemulihan ekonomi di Johor buat masa ini berbanding membazir masa dan wang untuk mengadakan pilihan raya.

“Saya rasa pendirian PKR dan PH Johor sudah lama dikemukakan iaitu kita tidak bersetuju mengadakan PRN di Johor. Bagi saya satu majoriti pun tetap dikira majoriti, kerajaan masih boleh fungsi seperti biasa.

“Setakat ini kita PH 27 kerusi tiada hasrat untuk menjatuhkan kerajaan atau membuat apa-apa perkara berkaitan yang boleh menjejaskan kestabilan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Spekulasi berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN semakin bertiup kencang kebelakangan ini ditambah faktor kekosongan kerusi DUN Kempas akibat kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Tambah Jimmy Puah, kesan ekonomi kepada negeri akibat faktor politik tidak wajar dikaitkan kerana perkara itu tidak memberi impak secara langsung berbanding keadaan politik di peringkat Persekutuan.

“Pelabur tidak akan tengok kepada faktor politik negeri semata-mata tetapi kalau politik Persekutuan goyah dan tidak stabil memang perkara itu akan memberi kesan. Lagi pun tidak sesuai diadakan PRN sekarang kerana Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 tidak lama lagi.

“Malah, jika perlukan sokongan pembangkang misalnya untuk meminda undang-undang tubuh kerajaan negeri berkaitan calon berusia 18 tahun atau belanjawan sebelum ini, kita tidak ada masalah untuk bekerjasama demi kepentingan semua,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh turut tidak melihat keperluan untuk mengadakan PRN dalam masa terdekat kerana negeri ini masih dilanda banjir dan Covid-19.

“PRN tidak perlu diadakan sebab jika kita tengok sekarang ini kestabilan kerajaan yang sedia ada sudah baik. Malah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada masalah mengekalkan kerajaan ini dengan terus memberi sokongan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN