JASIN: Penduduk di Batu Gajah, Sungai Rambai dekat sini bimbang hujan berterusan akan menyebabkan benteng rentas Lanchang – Batu Gajah pecah dan mengakibatkan kawasan pekan itu ditenggelami banjir seperti mana yang berlaku pada 2006.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Abdul Majid Md. Jim berkata, ketika ini, air dari Sungai Kesang sudah mula melimpahi benteng sejauh dua kilometer itu.
Menurutnya, jalan melalui benteng berkenaan yang menghubungkan Batu Gajah dan Kampung Seri Lanchang sudah tidak boleh dilalui motosikal dan kereta, melainkan kenderaan pacuan empat roda.
“Pagi ini air Sungai Kesang naik mendadak serta melimpahi benteng dan jika keadaan ini berterusan saya bimbang ada kemungkinan ia akan pecah.
“Jika ini terjadi, pekan Batu Bajah termasuk pondok polis serta petempatan penduduk mungkin ditenggelami banjir seperti yang terjadi pada 2006,” katanya ketika ditemui.
Abdul Majid berkata, pekan tersebut tidak pernah dilanda banjir melainkan kejadian banjir besar pada 2006.
Dalam kejadian tersebut, katanya, pekan serta kawasan berhampiran ditenggelami air sedalam dua meter setelah benteng yang dibina pecah.
“Penduduk di Kampung Seri Lanchang yang sering berulang-alik ke pekan Batu Gajah tidak boleh lagi melalui benteng tersebut yang kini dilimpahi air, melainkan mereka menggunakan kenderaan berat atau pacuan empat roda.
“Ketika ini kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat rondaan bagi memastikan benteng tersebut berada dalam keadaan baik,” jelasnya. -UTUSAN










