MB Johor perlu tamatkan spekulasi PRN - Utusan Malaysia

MB Johor perlu tamatkan spekulasi PRN

WEE Tse (tengah) menerima sumbangan bantuan Amirudin untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad diminta untuk menamatkan spekulasi sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat atau tidak.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, perkara itu perlu dilakukan segera kerana khabar angin menyebabkan suhu politik di negeri ini semakin panas.

Beliau berkata, hingga ke hari ini, Hasni masih belum memberi satu jawapan atau kenyataan rasmi yang konkrit dan jelas mengenai kemungkinan PRN diadakan.

Tambahnya, cerita-cerita politik itu bukan sahaja mendatangkan kemarahan rakyat di negeri ini malah turut menganggu fokus kerajaan negeri untuk membantu rakyat.

“Saya menyeru Menteri Besar Johor dan kerajaan Johor kalau betul tidak akan diadakan PRN Johor tolong matikan khabar angin ini hari ini. Jangan politikkan perkara ini sebab tiap-tiap hari orang bertanya bila PRN?

“Kita bukan takut… kita hanya rasa rakyat tidak mahu PRN dan kita bersama rakyat. Bila dipolitikkan lagi, jadi fokus kerajaan akan lari.. sepatutnya fokus kerajaan untuk bantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serahan sumbangan 1,000 bakul makanan daripada kerajaan Selangor kepada mangsa banjir di negeri ini di Jalan Persiaran Medini, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemungkinan PRN selepas gabungan yang membentuk kerajaan mempunyai kelebihan satu kerusi DUN susulan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian, meninggal dunia 21 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Wee Tse berkata, rakyat di negeri ini tidak seharusnya diheret sama menjadi mangsa percaturan politik UMNO yang berhasrat mengadakan PRN dalam masa terdekat.

Beliau yang juga ADUN Bukit Batu berkata, tidak ada keperluan untuk mengadakan PRN buat masa ini kerana keadaan yang tidak sesuai, malah, hanya membazirkan wang sahaja.

“Alasan mereka mahu mengadakan PRN kerana disebabkan (kekosongan) satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ini bukan alasan yang munasabah kerana kerajaan Johor sehingga kini masih berfungsi pada setiap hari.

“Kalau ada isu penting perkara itu boleh dibincangkan bersama-sama pembangkang, contohnya isu undi 18 tahun baru-baru ini kita sokong (dalam sidang DUN khas),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN