Majlis Syura Pas pertahan Muafakat Nasional (MN) - Utusan Malaysia

Majlis Syura Pas pertahan Muafakat Nasional (MN)

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas memutuskan Muafakat Nasional (MN) akan terus dipertahankan di sebalik desas-desus kononnya gabungan ditubuhkan dua tahun lalu itu bakal berkubur.

Muzakarah Majlis Syura yang bersidang semalam memutuskan perkara itu sambil menetapkan pendirian untuk tetap memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menggesa kepemimpinan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berlapang dada dan melupakan persengketaan demi penyatuan ummah serta penyatuan parti politik Melayu Islam.

Malah ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau turut berkeyakinan kerjasama parti itu, Bersatu dan UMNO menerusi MN dan PN mampu menang majoriti dua pertiga Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, Pas memperkukuhkan pendirian memperkasakan MN serta PN dan bagi mempertahankan kerjasama tersebut, rundingan, pertemuan selain pelbagai program bersama UMNO akan dilaksanakan.

Kata beliau, masyarakat khususnya akar umbi Pas dan UMNO sudah selesa melihat kedua-kedua parti terbesar orang Melayu Islam itu bersama dan mahu MN terus dipertahankan.

“Kebanyakan pemimpin kedua-dua parti ini mahu MN terus dipertahankan dan amatlah sayang juga gabungan tersebut lenyap hanya disebabkan sedikit perbezaan.

“Rundingan akan terus berjalan bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 dan kita yakin kerjasama MN dan PN mampu mencapai kemenangan majoriti dua pertiga di dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Muzakarah Majlis Syura yang bersidang turut memutuskan Pas akan terus memperkasa MN dan PN dalam usaha menyatukan parti politik Islam demi kepentingan agama serta negara.

Selain itu, Pas memutuskan akan melakukan rundingan kerusi antara parti Islam semaksimum mungkin bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRU15.

Tambah Hashim, MN dan PN mempunyai musuh yang sama iaitu Pakatan Harapan (PH) sekali gus pertembungan tiga penjuru yang merugikan gabungan tersebut perlu dielak.

“Pertembungan tiga penjuru hanya menguntungkan pihak musuh dan kita mungkin tewas jika tersilap langkah dalam pilihan raya nanti. Sebab itu, kita perlu bekerjasama dan berkorban sedikit dengan melupakan persengketaan demi penyatuan ini.

“Penyatuan adalah perkara yang dituntut oleh Allah SWT. Kepemimpinan UMNO dan Bersatu perlulah bertolak ansur demi penyatuan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN