Lawatan rasmi Kamarudin ke Jordan, Azerbaijan perkukuh hubungan - Utusan Malaysia

Lawatan rasmi Kamarudin ke Jordan, Azerbaijan perkukuh hubungan

China
KAMARUDIN JAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar bakal melakukan lawatan kerja rasmi buat julung kali ke Jordan dan Azerbaijan bermula dari esok sehingga 23 Januari depan.

Wisma Putra memaklumkan, beliau akan turut diiringi para pegawai kementerian dan mematuhi prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan kedua-dua negara Islam itu.

 “Ketika berada di ibu kota Amman, beliau dijadualkan mengadakan sesi pertemuan bersama dengan rakan sejawatannya dari Jordan, Yousef Bataineh,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

 Turut disusun dalam lawatan berkenaan ialah sesi kunjungan hormat beliau ke atas Timbalan Menteri Luar dan Ekspatriat Palestin, Dr. Amal Jadou Shaka yang berada di negara tersebut.

 Sementara di ibu negara Baku pula, jelas Wisma Putra, beliau berpeluang bertemu sendiri Menteri Luar Azerbaijan, Jeyhun Bayramov yang sebelum itu merupakan Menteri Pendidikan.

 Kedua-dua lawatan bersejarah tersebut, menggambarkan hubungan kukuh dan berpanjangan antara Malaysia dengan Jordan dan Azerbaijan yang terjalin amat erat dalam pelbagai bidang.

 Ini dibuktikan menerusi nilai keseluruhan perdagangan dengan Jordan dari tempoh Januari sehingga Oktober tahun lalu yang merekodkan jumlah amat besar mencecah RM924.8 juta.

 Bagaimanapun dengan Azerbaijan yang merdeka sejak 1991 sebelum Malaysia mula menjalin hubungan diplomatik pada 1993, nilai tersebut untuk tempoh sama berjumlah RM120.52 juta.

 “Fokus lawatan lebih kepada pengukuhan inisiatif kerjasama dua hala khususnya ekonomi serta hubungan rakyat dan rakyat terutama isu pasca wabak Covid-19,” kata Wisma Putra.

 Ketiga-tiga negara ini kebetulan merupakan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara Berkecuali, Kumpulan 77 Negara Membangun dan Pertubuhan Bangsa Bersatu. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya