Khairy balas desakan King Sing supaya Noor Hisham diganti - Utusan Malaysia

Khairy balas desakan King Sing supaya Noor Hisham diganti

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membalas kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang mempertikai kredibilitinya dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Kenyataan balas itu juga menjawab gesaan King Sing mengenai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah untuk melepaskan jawatannya ketika beliau didakwa tidak layak hanya kerana bergelar ‘pakar bedah’ dan bukan ‘pakar kesihatan awam’.

“@DGHisham (Noor Hisham) mendapat sokongan penuh daripada saya untuk menjalankan tugas sebagai KPK Malaysia. (Ketua Pengarah Kesihatan),” katanya di Twitter petang ini.

Mengulas berkenaan pendekatan anti wabak diambil China sehingga kes penularan berada pada kadar rendah, Khairy tidak menafikan langkah itu berkesan.

“Namun, strategi mereka iaitu containment (pembendungan) atau sifar Covid-19, yang bermaksud total lockdown apabila hanya ada tiga kes positif.

“Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita adalah mitigasi. Bermaksud, kita mengurus kes positif dengan berkenaan peningkatan vaksinasi, jaga SOP (prosedur operasi standard), #TRIIS agar kadar kematian menurun, penggunan unit rawatan rapi (ICU) menurun dan kemasukan ke hospital menurun,” katanya sambil menciap laporan Utusan Online.

Sebelum itu, King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) menimbulkan persoalan terhadap Dr. Noor Hisham yang belum digantikan dengan orang lain yang layak ketika beliau dilihat tidak berupaya dalam mengendalikan pandemik Covid-19 di negara ini.

Malah, King Sing mempersoalkan sekiranya Khairy mempunyai strategi jelas untuk mendepani senario kes terburuk atau masih mengamalkan strategi ‘satu demi satu’ atau senang-senang mengabaikan data membimbangkan yang membuatkan orang awam gentar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN