PETALING JAYA: Kementerian Kewangan mensasarkan hasil kutipan Program VA kira-kira RM1 bilion hingga RM2 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diumumkan dalam Bajet 2022 pada Oktober lalu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program tersebut merupakan usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan melaporkan cukai yang sepatutnya.
“Bermula dari awal tahun ini hingga 30 September depan, JKDM perlu menggerakkan jentera yang dapat memastikan sasaran kutipan bagi program ini boleh dicapai, iaitu antara RM1 bilion hingga RM2 billion.
“Saya yakin, JKDM mampu mencapai sasaran ini,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 tahun 2021 di pejabat JKDM di Kelana Jaya di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Tengku Zafrul, beliau percaya JKDM mampu mempertingkatkan sasaran pungutan hasil terutamanya kutipan kastam dan duti import.
Ujar beliau, walaupun terdapat cabaran dari segi pemindahan penghantaran yang tidak dikenakan bayaran, serta pengecualian duti import susulan perjanjian perdagangan bebas (FTA) namun jabatan itu mampu mencapai sasaran yang lebih baik.
“Ini terutamanya apabila negara kita terus mencatatkan jumlah perdangangan yang telah melonjak melebihi RM2 trilion bagi 11 bulan pertama tahun 2021.
“Dari keseluruhan nilai tersebut, RM1.1 trilion (eksport) RM 894 bilion (import).
“Dengan ekonomi dunia dan negara yang dijangka terus memulih tahun ini, nilai ini dijangka akan terus meningkat,” katanya.- UTUSAN ONLINE










