PETALING JAYA: Sebanyak 42.5 bilion hasil dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu melepasi sasaran awal ditetapkan Kementerian Kewangan iaitu RM40 bilion.
Menurut beliau, selain kejayaan kutipan hasil, JKDM turut menyerlah sektor penguatkuasaan dengan menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.
“Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik Covid-19 dan bencana alam.
“Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin JKDM akan terus bergerak maju sebagai ‘Economic Frontliners’ atau petugas barisan hadapan ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 tahun 2021 Pejabat Kastam di Kelana Jaya di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Ismail Sabri, kerajaan juga sentiasa berusaha membantu JKDM untuk terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan memudahcara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.
Ujar beliau, komitmen ini terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM.
“Ini bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan selanjutnya berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE