Isu mahkamah Zahid tak jejas UMNO Johor - Utusan Malaysia

Isu mahkamah Zahid tak jejas UMNO Johor

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Isu mahkamah berkaitan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menjejaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana rakyat negeri itu lebih fokus kepada kepemimpinan Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Ahmad Zahid hanya membawa nama parti di peringkat nasional.

“Keputusan mahkamah tinggi yang memerintahkan Ahmad Zahid untuk membela diri tidak memberi kesan kepada Johor kerana keutamaan yang difokuskan kini adalah soal ekonomi negeri itu sendiri.

“Kes mahkamah itu peringkat nasional, ia tidak ada kena mengena dengan keadaan Johor. Johor tidak terkena tempias pun sebab kepimpinan kita adalah Datuk Hasni dan beliau diterima ramai, ada track record yang cantik dalam memulihkan ekonomi, dia tidak ada skandal.

“Johor lain, kita hanya nak lihat pembangunan ekonomi. Jadi tidak ada masalah pun kalau Presiden nak turun padang sebab memang beliau sangat diperlukan sebagai seorang Presiden,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, isu Ahmad Zahid masih dalam peringkat perbincangan dan tidak ada sebab mengapa beliau perlu dihalang untuk turun padang membantu gerak kerja UMNO menghadapi PRN nanti.

“Kita lihat Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun dah dijatuhkan hukuman, tetapi, beliau masih popular di kalangan pengundi. Yang Presiden UMNO, beliau masih dibicara, belum jatuhkan hukuman pun lagi.

“Kalau selama ini Ahmad Zahid tidak laku, bagaimana UMNO boleh pulih selepas diburukkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin? Tetapi rakyat tahu ini semua helah politik yang kononnya mereka yang lain itu bersih.

“Cuba siasat lagi mereka yang lain-lain ini sebab mereka ini lama dalam kepimpinan negara,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, Hasni tidak akan mengambil keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika memikirkan keputusan Presiden memberi kesan kepada negeri Johor.

“PRN Johor ini sebenarnya ‘test’ kepada Bersatu dan Pas. Ini adalah penentuan hidup mati parti itu, bukan UMNO. Seperti biasa, ada pihak yang cuba alih pandangan, cuma orang dah yakin dengan kepimpinan Hasni, jadi pembangkang tiada alternatif untuk menjadikan bahan kempen.

“Seperti Pas pula, dah kalah sewaktu Melaka, dia nak main kolam dengan semua orang lagi. Di Melaka, mereka fikirkan Pas dapat undi lebih dari Bersatu, tetapi tidak. Ini bermakna orang memang tidak mahu Pas sebenarnya,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN