ARAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka sukar mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, nasib Bersatu yang tewas 13 daripada 15 kerusi yang ditandingi pada PRN Melaka sebelum ini dijangka berterusan dalam PRN Johor.
Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang masih segar dengan kemenangan besar di Melaka dijangka mampu meneruskan momentum kemenangan tersebut di Johor meskipun jika bergerak solo.
“Jika Bersatu masih kalah teruk dalam PRN Johor sebagaimana Melaka, saya menjangkakan Perikatan Nasional (PN) akan terbubar dengan sendirinya memandangkan Johor juga merupakan salah satu kubu kuat Bersatu.
“PRN Johor bakal menjadi platform kepada Bersatu dan PN menguji kekuatan sama ada mampu bertahan atau sebaliknya menjelang PRU15.
“Malah jika diukur dari segi kekuatan akar umbi Bersatu dan Pas menerusi PN juga dilihat tidak sekuat UMNO di Johor yang masih merupakan kubu kuat UMNO,” katanya.
Di Johor sebelum ini, Bersatu mempunyai 11 kerusi iaitu DUN Gambir, Puteri Wangsa, Tenang, Kempas, Bukit Kepong, Bukit Permai, Larkin, Permis, Sedili, Johor Lama dan Endau.
Dalam PRN Melaka, menyaksikan PN tewas di 26 daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi dengan Bersatu yang mempertaruhkan 15 calon mewakili PN hanya menang dua kerusi.
Tambah Rusdi, Pas dilihat masih sukar menembusi Johor dan peluang parti itu menang agak tipis dalam PRN berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, UMNO perlu berani melakukan perubahan dengan mempertaruhkan muka-muka baharu seperti di Melaka.
“Peratusan keluar mengundi juga bakal memainkan peranan penting dengan jika peratusan itu bawah 70 peratus, UMNO mampu menang besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE










