JERANTUT: Walaupun bencana banjir yang berlaku Disember lalu telah pun berakhir, beberapa peristiwa berkaitan masih menjadi ingatan seorang penduduk Felda Padang Piol, Sulaiman Sarip, 53, dan sukar dilupakan apabila setiap kali melalui jalan Simpang Paya Garuk di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sulaiman berkata, Simpang Paya Garuk sudah sinonim dengan penduduk serta penggiat ekopelancongan Taman Negara Kuala Tahan kerana lokasi tersebut antara yang pertama ampuh banjir apabila air Sungai Pahang melimpah setiap kali musim tengkujuh.
“Apabila Simpang Paya Garuk ampuh, bermakna Jalan Jerantut ke Taman Negara Kuala Tahan terputus perhubungan menyebabkan penduduk Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang, mukim Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling tidak dapat keluar ke bandar Jerantut,” katanya di Simpang Paya Garuk, dekat sini, semalam.
Menurutnya, senario di Simpang Paya Garuk juga menjadi penanda aras bagi penduduk perkampungan pesisir di hilir Sungai Pahang seperti Jerantut Feri, Pulau Tawar, Bukit Nikmat dan tempat lain supaya berwaspada kerana penempatan mereka kemungkinan dilimpahi air selepas itu.
Katanya, ketika banjir penghujung Disember tahun lalu dan awal Januari tahun ini, dia secara sukarela memberikan perkhidmatan membawa penumpang menyeberangi laluan yang dinaiki air.
Ia melibatkan kawasan di Simpang Paya Garuk dari kedua-dua arah sama ada ada bandar Jerantut ataupun Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang, penduduk mukim tembeling Tengah dan Ulu Tembeling untuk keluar menggunakan bot gentian kaca.
“Kasihan melihat penduduk terutamanya warga emas, wanita dan kanak-kanak untuk menyeberang di laluan simpang ini dan sebilangannya sangat perlu ke bandar Jerantut untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta,” katanya.
Sulaiman berkata, dia tidak menetapkan bayaran tambang bot dan terserah kepada keikhlasan penumpang. Malah, tidak menagih tambang sekiranya mereka tidak mempunyai wang.
Bercerita lanjut dia berkata, selama bertugas membawa penumpang, sebanyak dua kali dia melihat jenazah penduduk diusung ke atas bot oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyeberangi laluan banjir di Simpang Paya Garuk untuk dikebumikan di kampung berdekatan.- UTUSAN ONLINE










