‘Air sudah kembali ada, terima kasih Utusan’ - Utusan Malaysia

‘Air sudah kembali ada, terima kasih Utusan’

MASALAH pili air yang hanya mengalirkan air bukit sejak 2018 di Kampung Pabai, Rembau sejak 2018 selesai apabila air bersih mula disalurkan ke kampung itu. -UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: “Terima kasih Utusan Malaysia, terima kasih semua pihak bertanggungjawab, air bersih sudah ada,”.

Demikian kata Tok Batin Kampung Pabai, Rusmah Buncit, 52, ketika ditemui di kampung tersebut semalam.

Ujarnya, dia tidak me­nyangka, masalah yang membelenggu lebih 300 penduduk sejak tahun 2018 selesai apabila kisah itu disiarkan di akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sehubungan itu, dia berharap agar bekalan air bersih berkenaan akan berterusan dan bukan untuk tempoh sementara.

“Pada pagi hari Jumaat lalu saya dapat tahu air di sebelah Bukit Miku sudah ada. Saya tunggu dan kemudian sebelah petangnya semasa melalui kemudahan pili air di tepi jalan kampung, saya dapat melihat lelehan air.

“Itu tandanya air bersih dan terawat sudah sampai ke kampung kami. Tindakan pantas pihak berwajib sangat dihargai penduduk terutamanya di Kampung Mampan dan Su­ngai Siput kerana penduduk terpaksa mengangkut air dari sungai yang terletak jauh dari rumah,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan lebih 300 penduduk dan pekebun di kawasan sekitar Miku hingga ke perkampungan orang Asli berhampiran sempadan Kuala Pilah-Rembau terpaksa berhadapan dengan masalah ketiadaan air bersih dan rata-rata­nya terpaksa bergantung kepada sumber air bukit.

Sementara itu, Rusmah berkata, walaupun masalah air penduduk telah selesai, namun, lima pekebun termasuk di kawasan berhampiran Kuala Pilah, kawasan tersebut masih belum menikmati kemudahan air bersih.

“Saya harap ada khabar yang baik juga buat pekebun-pekebun ini kerana rata-rata­nya sudah pun memasang meter air masing-masing,” katanya.

Sementara itu, bagi Imam 2, Surau Al-Hidayah Kampung Pabai, Kamaruzam Mohd. Nor, 49, dia bersyukur kerana kemudahan air terawat berkenaan membolehkan mesin air yang dibelinya dengan ansuran bulanan dapat digunakan semula.

“Terima kasih, harap bekalan air sentiasa ada, kalau nak catu pun atau berkala saya harap agar ada makluman terlebih dahulu bagi persediaan penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN