SEREMBAN: Membawa lebih muatan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang tahun lalu.
Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf berkata, berdasarkan statistik, secara keseluruhannya sebanyak 30,859 kesalahan direkodkan melibatkan kenderaan barangan.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 7,801 kesalahan disebabkan kenderaan barangan yang membawa lebih muatan.
“Ada antara kenderaan barangan yang ditahan membawa muatan sehingga menyamai dua buah lori.
“Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda mengikut Seksyen 57(3) akta sama iaitu antara RM1,000 hingga RM500,000,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Halangan di Hentian Senawang, Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) di sini, semalam.
Tambahnya, menerusi statistik yang sama, sebanyak 13,572 buah kenderaan barangan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan daripada 65,932 buah yang diperiksa.
“Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 2,155 kemalangan melibatkan kenderaan barangan di Negeri Sembilan sepanjang tahun 2021.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 1,766 adalah melibatkan lori rigid dan 389 lagi adalah lori treler,” tambahnya.
Sementara itu, katanya, dalam Operasi Halangan itu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 133 notis daripada 586 kenderaan yang diperiksa. -UTUSAN ONLINE










