53 usahawan terjejas banjir, PUNB tawar pinjaman, moratorium - Utusan Malaysia

53 usahawan terjejas banjir, PUNB tawar pinjaman, moratorium

AHMAD Nazlan Idris menyampaikan bantuan barang keperluan dapur kepada seorang mangsa banjir di Kampung Lata Kasah di Jerantut, Pahang, hari ini. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Berita baik untuk usahawan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang terjejas teruk bencana banjir dua minggu lalu apabila agensi berkenaan menawarkan moratorium serta pinjaman untuk membina semula perniagaan masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sebanyak 53 syarikat atau Rakan Usahawan PUNB dikenal pasti terbabit dengan banjir iaitu di Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan membabitkan kerugian hampir RM10.5 juta.

“Selangor antara negeri paling ramai usahawan terjejas teruk, iaitu sebanyak 38 buah syarikat atau perseorangan melibatkan kerugian RM8.3 juta, Pahang sebanyak RM1.8 juta (sembilan syarikat), Kuala Lumpur sebanyak RM265,000 (tiga syarikat), manakala Melaka sebanyak RM65,000 (dua syarikat) dan sebuah syarikat di Negeri Sembilan kerugian sebanyak RM10,000.

“Berasaskan penilaian terhadap syarikat di negeri itu, PUNB mengambil tanggungjawab serta keprihatinan terhadap usahawan bumiputera ini dengan menawarkan moratorium sehingga enam bulan bermula 1 Januari lalu,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Lata Kasah dekat sini hari ini.

Menurut Ahmad Nazlan, inisiatif pinjaman tambahan juga akan diberikan kepada rakan usahawan tersebut untuk membeli peralatan seperti mesin dan peralatan elektrikal termasuk membaik pulih bengkel atau premis dalam tempoh pemulihan untuk membangunkan semula perniagaan mereka.

“Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan PUNB akan menimbang pinjaman tambahan ini berasaskan nilai kerosakan dan terpaksa diganti (dibeli) baharu bagi membantu meringankan sebarang kesulitan kewangan yang dihadapi dalam waktu mencabar ini.

“PUNB juga sedia membantu usahawan yang berdepan kesukaran untuk meneruskan komitmen pembayaran pembiayaan boleh memohon tempoh moratorium tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut menjelaskan PUNB sebagai sebuah agensi di bawah kerajaan berperanan untuk  meningkatkan penyertaan dan penglibatan bumiputera dalam bidang keusahawanan serta melahirkan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera sentiasa  komited dan dinamik untuk membantu usahawan yang berdepan masalah selepas bencana tersebut.

Ujarnya, usahawan di bawah pinjaman PUNB di tempat lain yang belum disenaraikan untuk inisiatif berkenaan yang layak boleh menghubungi Pegawai Pemantau di Ibu Pejabat PUNB di Kuala Lumpur dan cawangan di negeri masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya