UTeM juara Cabaran Niaga Francais Malaysia 2021 - Utusan Malaysia

UTeM juara Cabaran Niaga Francais Malaysia 2021

DR. ISMA Addi Jumbri (tengah) bersama Mohammad Muadzan Abd. Rahman (kiri) dan Muhammad Syafiq Abd. Talib menunjukkan sijil dan trofi selepas menjuarai Cabaran Niaga Francais Malaysia 2021 dan video montaj terbaik di Anugerah Francais Malaysia 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dinobatkan sebagai juara Cabaran Niaga Francais Malaysia 2021 dan turut memenangi anugerah video montaj terbaik sempena Anugerah Francais Malaysia 2021.

Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (Create) UTeM, Dr. Isma Addi Jumbri berkata, kejayaan tersebut merupakan detik bersejarah buat UTeM kerana pertama kali menyertai majlis yang dianjurkan Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).   

Menurut beliau, UTeM muncul juara menerusi jenama Apai Mobile Repair Centre yang menunjukkan pencapaian membanggakan itu adalah bukti pelajar kejuruteraan mampu berjaya dalam bidang keusahawanan. 

“Projek perniagaan Apai Mobile Repair Center ini mempunyai peluang besar untuk dijayakan melalui model francais dan berkembang ke pasaran global.

“Hal ini membuktikan pelajar UTeM yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan ini turut menjadi elemen penyumbang kepada kebolehpasaran graduan dan bertindak sebagai penjana pekerjaan sepertimana yang dihasratkan oleh  Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

UTeM diwakili oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Mekatronik yang juga pengasas Apai Mobile Repair Centre, Mohammad Muadzan Abd. Rahman dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automotif), Muhammad Syafiq Abd. Talib.

Mereka membawa pulang RM20,000 bersama geran perniagaan francais berjumlah RM100,000 beserta trofi dan sijil penyertaan manakala video montaj terbaik pula menerima RM500.

Mengenai perancangan masa depan, Isma berkata, Apai Mobile Repair Centre yang terletak di Bandar Bestari Jasin akan bekerjasama dengan Create bagi melatih pelajar-pelajar UTeM yang berminat untuk membuka perniagaan membaiki telefon bimbit melalui konsep francais khususnya bagi pelajar dalam kumpulan B40 dan ke bawah.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya