TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia di universiti itu yang diumumkan Perdana Menteri semalam.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah berkata, cadangan Perdana Menteri itu merupakan satu hadiah kepada UPSI yang sedang merayakan sambutan 100 tahun penubuhannya bermula zaman Sultan Idris Training College yang ditubuhkan pada 29 November 1922.
Beliau berkata, cadangan penubuhan pusat itu membuktikan pengiktirafan Perdana Menteri terhadap warga UPSI yang komited memperkasakan universiti dalam pelbagai aspek termasuk pencapaian ranking dunia.
“Saya yakin UPSI di bawah kepemimpinan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff mampu memikul amanah bagi menjalankan penyelidikan berasaskan pendidikan dalam memantapkan konsep Keluarga Malaysia yang berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UPSI hari ini.
Sementara itu, Md. Amin berkata, dengan tenaga pakar yang ada, UPSI bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diutarakan Perdana Menteri demi mengukuhkan pelaksanaan konsep itu secara menyeluruh dan berkesan menerusi pendekatan pendidikan.
Menurutnya, UPSI yang kini sedang menyambut ulang tahun ke-100, memiliki sembilan fakulti selain Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) yang boleh saling menyokong merealisasikan PPPKM dengan pelbagai pendekatan dari aspek pendidikan.
Katanya, konsep Keluarga Malaysia perlu diberi penekanan sejak zaman kanak-kanak lagi supaya mereka membesar menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab menjaga keharmonian, perpaduan dan kemakmuran negara secara bersama.
“Konsep Keluarga Malaysia cetusan idea Perdana Menteri ini sangat menarik kerana mementingkan kehidupan harmoni dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, dan keturunan serta ideologi politik,” katanya.
Semalam, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan pusat berkenaan di UPSI ketika merasmikan program Keluarga Malaysia@IPT anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di sini. – UTUSAN ONLINE