Trafik penumpang udara 2022 dijangka meningkat 525% - Utusan Malaysia

Trafik penumpang udara 2022 dijangka meningkat 525%

SEBANYAK 527 penerbangan tambahan diluluskan sempena Aidilfitri. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan trafik penumpang udara meningkat antara 316 peratus hingga 525 peratus tahun ke tahun iaitu bersamaan dengan 32.6 juta hingga 49 juta penumpang. 

Jangkaan tersebut menunjukkan pemulihan sebanyak 30 hingga 45 peratus daripada tahap trafik penumpang udara prapandemik pada 2019.

Menurut laporan industri edisi ke-10, Waypoint, suruhanjaya itu mencatatkan bahawa sektor penerbangan telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang awal pada September 2021 dengan pertumbuhan trafik penumpang udara sebanyak 56.6 peratus bulan ke bulan, diikuti 190.2 peratus bulan ke bulan pada Oktober. 

“Kedua-dua bulan tersebut turut merekodkan 5.3 peratus dan 14.9 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara bagi bulan yang sama pada 2019. 

“Selain itu, jumlah trafik penumpang udara bagi tahun kewangan 2021 dijangkakan lebih hampir dengan ramalan senario terbaik suruhanjaya iaitu antara 6.9 juta hingga 7.8 juta jumlah penumpang trafik udara,” menurut laporan tersebut.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata,  kelonggaran sekatan perjalanan, gelembung pelancongan, pembukaan sempadan antarabangsa berikutan pelaksanaan vaksinasi yang pantas serta pelaksanaan Perjalanan Vaksinasi (VTL) ke Singapura yang dilancarkan baru-baru ini menunjukkan prospek yang amat positif bagi trafik penumpang udara tahun depan.

“Pemulihan penuh sektor penerbangan tidak akan dapat dicapai dalam tempoh yang singkat. Para pemain industri penerbangan mungkin akan menghadapi cabaran-cabaran yang sukar kelak, ekoran kenaikan harga minyak mentah Brent serta bahan api jet yang boleh memberi kesan yang signifikan terhadap kos operasi syarikat penerbangan. 

“Walaupun berdepan kemungkinan penularan varian-varian wabak Covid-19 yang baharu termasuk Omicron, kami tetap berharap industri penerbangan akan terus berkembang, terutamanya apabila kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan pembukaan semula sempadan ke beberapa negara,” ujarnya.

Selain itu, syarikat penerbangan dijangka meningkatkan kapasiti tempat duduk secara beransur-ansur berikutan permintaan perjalanan yang terpendam sekian lama dan simpanan terkumpul akan memacu pertumbuhan trafik penumpang pada 2022.

Trafik kargo udara juga diramalkan meningkat antara 3.9 peratus dan 6.7 peratus tahun ke tahun, iaitu sebanyak 20.8 billion hingga 21.6 billion FTK, disokong kemajuan program vaksinasi, pertumbuhan kukuh dalam sektor e-dagang, sektor elektrik dan elektronik serta permintaan daripada rakan-rakan perdagangan utama Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN